Pilih bahasa anda
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II dan YB Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah mempengerusikan sesi perbincangan bersama hospital swasta bagi meneliti langkah menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan.
Fokus utama adalah memastikan sistem yang lebih mampan dan mampu diakses oleh rakyat.
Kerajaan komited memperluas akses melalui Pelan Asas Insurans atau Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), namun usaha ini perlu disokong dengan kawalan kos yang lebih berkesan termasuk penstrukturan semula pengebilan hospital. Tanpa pembaharuan menyeluruh, tekanan inflasi perubatan dan kos insurans akan terus memberi kesan kepada rakyat.
Perbincangan turut melibatkan usaha memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan melalui semakan pelesenan fasiliti serta cadangan penubuhan Tabung Kebajikan Hospital. Pendekatan ini bertujuan menggalakkan pertumbuhan khidmat penjagaan kesihatan yang mampu milik dan memudahkan penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan amal, khususnya kepada pesakit kurang berkemampuan.
Pendekatan ini memerlukan kerjasama semua pihak iaitu kerajaan, industri dan pengawal selia untuk mencari penyelesaian yang seimbang dan berdaya tahan. Matlamat akhirnya adalah sistem kesihatan yang lebih cekap, kos yang lebih terkawal dan akses rawatan yang lebih baik untuk seluruh rakyat.
Turut hadir YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia dan YBhg. Datuk Dr. Shahrazat Haji Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan).