YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan meluangkan masa bersama YB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya dan delegasi KKR, serta YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan pasukan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) sebagai kesinambungan sesi konsultasi #Bajet2022 pada 20 September yang lalu.

Perbincangan antaranya berkisar mengenai pelbagai manfaat #Bajet2022 yang baru sahaja diumumkan termasuk peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) bagi negeri Sabah dan Sarawak.

Sebanyak RM5.16 bilion diperuntukkan untuk Sabah iaitu tambahan RM104 juta berbanding 2021 manakala, Sarawak pula sebanyak RM4.67 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM158 juta.
Jumlah peruntukan DE Sabah dan Sarawak bagi tahun 2022 adalah lebih 20 peratus daripada jumlah peruntukan DE untuk kesemua negeri.
Perbelanjaan DE ini termasuk peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo iaitu meneruskan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah daripada Sindumin ke Rampayan Laut dan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak daripada Semantan ke Jalan Pujut Link.
Selain itu, peruntukan DE sebanyak RM1.5 bilion daripada jumlah keseluruhan RM2.5 bilion untuk pembangunan infrastruktur luar bandar diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak.
Beliau berharap #KeluargaMalaysia dapat memanfaatkan sepenuhnya peruntukan di dalam Bajet 2022. Orang ramai boleh melayari laman sesawang budget.mof.gov.my/manfaat untuk maklumat lanjut mengenai Bajet 2022.