YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan telah berkesempatan mengadakan sesi perbincangan secara maya dengan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 10 syarikat antaranya Aerodyne, Carsome dan Inari Amerton di Kompleks Kementerian Kewangan (MOF), Putrajaya.
Pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada siri libat urus Belanjawan 2023 bersama-sama industri.
Beliau tekankan komitmen Kerajaan untuk menyokong penubuhan syarikat inovatif dan berpertumbuhan tinggi tempatan melalui peningkatan pelaburan dalam syarikat-syarikat teknologi di bawah Belanjawan 2023.

Perbincangan terkait tentang potensi besar syarikat-syarikat pemula di Malaysia dan keperluan campur tangan dasar Kerajaan dalam memperkukuh ekosistem syarikat pemula terutamanya bagi aspek pembiayaan, pembangunan bakat dan insentif fiskal.
Malaysia mempunyai bakat untuk membina syarikat inovatif berpertumbuhan tinggi, yang seterusnya berupaya menjana pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia.

Selaras dengan teras Daya Cipta dalam visi Malaysia MADANI, Belanjawan 2023 akan menggalakkan pelaburan berteraskan pengetahuan dan inovasi.
GLIC termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Khazanah akan melabur lebih RM1 bilion dalam syarikat-syarikat pemula tempatan yang inovatif dan berpertumbuhan tinggi.