YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan mengadakan perbincangan bersama YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia berkenaan Bantuan Khas COVID-19 (BKC).
YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pembayaran BKC Fasa 1 akan dibuat secara berperingkat mulai 6 September 2021 bagi penerima B40 dan 9 September 2021 bagi penerima M40, melibatkan peruntukan berjumlah RM3.1 bilion serta memanfaatkan 4.4 juta isi rumah, 1.1 juta warga emas yang bujang atau tiada pasangan dan 4.5 juta individu bujang.
Selaras dengan pengumuman YAB Perdana Menteri, #TeamMOF telah menyalurkan dana kepada pihak bank untuk memproses pembayaran BKC secepat mungkin.
Sehingga kini, Kerajaan telah menyalurkan RM12.3 bilion kepada hampir 10 juta rakyat Malaysia dan baki RM4.8 bilion akan disalurkan sehingga hujung tahun ini.
Beliau berharap bantuan ini akan dapat serba sedikit mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi impak pandemik COVID-19. Sama-samalah kita berdoa agar #KeluargaMalaysia terus dilindungi.