YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan menyertai perbincangan yang diadakan sempena mesyuarat kedua Menteri Kewangan G20 dan Gabenor Bank Pusat dan Bank Dunia-IMF (G20 FMCBG) pada hari kedua persidangan Mesyuarat-Mesyuarat Musim Bunga Bank Dunia-IMF tahun 2022.
Selaku Pengerusi G20, Indonesia telah mempengerusikan mesyuarat tersebut yang diwakili oleh Menteri Kewangan, Ibu Sri Mulyani.

Pelbagai perkara telah disentuh semasa mesyuarat tersebut. Ini termasuk perbincangan mengenai tinjauan ekonomi global, termasuk kesan ekonomi daripada ketegangan geopolitik yang kini telah menyebabkan inflasi yang lebih tinggi akibat harga komoditi yang telah melonjak naik. Selain itu, mesyuarat tersebut juga membincangkan strategi keluar dan dasar-dasar bagi menangani kesan jangka panjang pandemik COVID-19.

Hal-hal lain yang turut dibincangkan ialah isu kesihatan global, termasuk keperluan untuk menubuhkan mekanisme kewangan baharu untuk pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap pandemik di masa hadapan. Menteri-menteri kewangan dan gabenor-gabenor bank pusat juga dijemput untuk membincangkan usaha memperkukuhkan daya tahan kewangan global, serta Jaringan Keselamatan Kewangan Global.
Mesyuarat telah diakhiri dengan perbincangan mengenai keperluan untuk menyediakan rangka kerja peralihan kewangan ke arah agenda kelestarian dan meningkatkan kredibiliti komitmen institusi kewangan terhadap usaha ini.

Secara keseluruhan, beliau amat berbesar hati kerana dapat mewakili Malaysia dan seluruh Keluarga Malaysia dalam membawa negara ke arah masa depan yang lebih baik.
Selain itu, beliau percaya di sebalik situasi yang tidak menentu ini, kesemua negara perlu bekerjasama dan mengambil pendekatan untuk manfaat semua. Kerjasama pelbagai hala yang lebih kukuh ini amatlah perlu untuk kesejahteraan manusia sejagat.