YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan bertemu dengan pelabur-pelabur ekuiti serta beberapa syarikat tersenarai yang terpilih sempena lawatan rasmi beliau ke London.

Beliau turut berkongsi berkenaan prospek dan potensi pemulihan Malaysia yang terus memberangsangkan, termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), minat berterusan oleh pelabur asing di pasaran modal negara dan nilai perdangangan luar yang terus meningkat jauh melebihi paras sebelum pandemik COVID-19.

Pelbagai isu telah dibincangkan, termasuk mengenai kecairan di dalam pasaran saham, pelaksanaan gaji minima serta impak geo-politik konflik Rusia-Ukraine ke atas pasaran ekuiti ASEAN, terutamanya Malaysia.

Setakat 23 Mac 2022, jumlah pelaburan bersih yang masuk ke dalam pasaran ekuiti Malaysia telah melebihi RM5.8 billion, manakala bagi pasaran bon ringgit merekodkan pelaburan masuk bersih berjumlah RM6.6 bilion bagi dua bulan pertama tahun 2022, jelas mencerminkan keyakinan pelabur di dalam pasaran modal negara.
Sebagai tahun pemulihan dan pembaharuan dasar, takwim 2022 akan menawarkan prospek pertumbuhan yang lebih baik bagi pelabur-pelabur di Malaysia.