YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan bersama-sama warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang juga merupakan Economic Frontliners negara. Sesi tersebut turut memberi peluang kepada beliau untuk menyampaikan amanat serta menghargai sumbangan mereka.

JKDM berperanan penting dalam membantu negara meningkatkan hasil di samping bertindak sebagai barisan hadapan untuk mengekang penyeludupan serta mencegah ketirisan hasil dengan memperhebat kawalan pintu-pintu keluar dan masuk negara. Kejayaan rampasan terbesar JKDM pada 2021 ialah apabila berjaya melumpuhkan kartel dadah antarabangsa dan merampas dadah jenis amfetamina seberat 16 tan bernilai RM5.2 bilion, terbesar dalam sejarah rampasan dadah di Malaysia.

Dalam melaksanakan tanggungjawab, para pegawai JKDM terpaksa berhadapan dengan cabaran melibatkan keselamatan dan nyawa pegawai serta keluarga. Namun begitu, JKDM tidak pernah gentar dalam membuktikan ikrar setia kepada negara.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga JKDM yang sentiasa komited menjalankan tugas dan seiring bersama Kementerian Kewangan melonjakkan negara di persada antarabangsa.
