YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan I telah berkesempatan menjawab soalan lisan dari Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan yang meminta supaya menyatakan data-data terkini pertumbuhan ekonomi negara, keadaan fiskal, hutang Kerajaan serta kaedah mengurangkan defisit dan hutang serta untuk menambah peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.
Untuk pengetahuan semua, ekonomi negara berkembang sebanyak 3.6 peratus dalam tempoh suku keempat 2021 berbanding kemerosotan 3.4 peratus dalam tempoh suku keempat 2020. Dari segi prestasi ekonomi secara bulanan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terus mencatat pertumbuhan positif sebanyak 2.6 peratus pada Disember, susulan pertumbuhan yang memberangsangkan pada November sebanyak 5.4 peratus dan 2.7 peratus pada Oktober 2021.

Momentum pertumbuhan tersebut disokong oleh kemajuan dan keberkesanan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang membolehkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan penyambungan semula aktiviti sosial terutamanya pada suku keempat 2021.
Secara keseluruhan, KDNK pada tahun 2021 kembali mencatat pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus berbanding penguncupan 5.6 peratus pada tahun 2020. Prestasi tersebut adalah sejajar dengan unjuran rasmi Kementerian Kewangan di antara 3 dan 4 peratus semasa pembentangan Bajet 2022.