Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Foto

Sesi Soalan Lisan Di Dewan Negara

Sesi Soalan Lisan Di Dewan Negara

YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan I telah berkesempatan menjawab soalan YB Senator Dato' Dr. Ahmad Azam Hamzah bagi pihak Timbalan Menteri Kesihatan I, YB Dato’ Dr. Haji Noor Azmi Ghazali untuk sesi soalan lisan di Dewan Negara yang meminta supaya menyatakan jumlah peratus berkenaan jumlah kanak-kanak di Malaysia yang mengalami masalah kekurangan zat makanan terutamanya dalam kalangan keluarga miskin bandar dan langkah-langkah untuk mengatasinya.

Untuk pengetahuan, hasil dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (National Health Morbidity Survey, NHMS) pada 2019, menunjukkan bahawa dalam kalangan kanak-kanak yang berumur bawah 5 tahun daripada keluarga B40, sebanyak 14.1 peratus mengalami masalah kurang berat badan, 22.4 peratus bantut dan 10.5 peratus susut. Tanpa mengambil kira pendapatan isi rumah, kajian tersebut juga mendapati bahawa di kawasan bandar 13.6 peratus kanak-kanak mengalami masalah kurang berat badan, 21.7 peratus bantut dan 10.1 peratus susut.

Dalam usaha pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengatasi masalah kekurangan zat makanan tersebut, pelbagai langkah telah diambil. Kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan makanan daripada keluarga berpendapatan rendah diberi intervensi berbentuk makanan asas serta pendidikan kesihatan melalui Program Pemulihan Kanak-kanak Kekurangan Zat Makanan (PPKZM).

Bagi komuniti miskin bandar, Program Community Feeding (PCF) Bandar yang bertujuan meningkatkan jaminan kebolehdapatan makanan berkhasiat dalam kalangan kanak-kanak bawah 5 tahun turut dilaksanakan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) terpilih. Buat masa ini, PCF Bandar telah dijalankan di PPR Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor dan akan diperluaskan dalam masa terdekat di Perak, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor.

Arkib Foto

Logo Accessibility