YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II telah mengadakan taklimat bagi memaklumkan perkembangan terkini program Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) kepada pihak media.
GEAR-uP merupakan program di bawah naungan Kementerian Kewangan yang menggabungkan syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) untuk memulakan perubahan sosial serta transformasi ekonomi negara ini.
Taklimat ini turut dihadiri oleh Ketua-ketua Pegawai Eksekutif enam GLIC utama menerajui GEAR-uP iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Antara pencapaian GEAR-uP sejak dilancarkan pada Ogos 2024 adalah komitmen penyediaan gaji wajar minimum sebanyak RM3,100 untuk 153,000 pekerja oleh 34 GLIC dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), penyaluran lebih RM200 juta dalam bentuk biasiswa, memanfaatkan lebih 700,000 individu di seluruh negara melalui pelaburan komuniti dan berjaya membantu lebih 8,000 belia daripada kumpulan B40 memperoleh akses kepada peluang pekerjaan.
Selain itu, enam GLIC utama tersebut juga telah melabur lebih RM800 juta ke dalam ekosistem semikonduktor negara, memulakan pembangunan hab industri hijau dan pintar seluas 3,000 ekar di Kerian dan Pulau Carey, dan menyokong lebih 50 syarikat dan dana tempatan melalui modal teroka dan ekuiti swasta.
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah berkata bahawa program GEAR-uP adalah penjajaran strategik di mana peluang bernilai RM120 bilion digembleng untuk memajukan industri masa hadapan dan pada masa yang sama meningkatkan pendapatan dan bina upaya serta merealisasikan kemakmuran yang dikongsi bersama.
“Ini melangkaui usaha memperkukuh asas ekonomi semata-mata. GEAR-uP adalah tentang meningkatkan taraf hidup rakyat dan melahirkan juara serantau dalam industri berteknologi tinggi, agar Malaysia dapat mencapai tahap yang lebih tinggi,” tambah beliau.