Sejurus dilantik sebagai Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan tidak berlengah masa untuk mengadakan taklimat bersama Pengurusan Tertinggi dan Bahagian-bahagian Kementerian Kewangan (MOF).

Taklimat tersebut merangkumi isu-isu mutakhir Perbendaharaan dan ekonomi negara menjelang pelaksanaan Belanjawan 2024, dasar permulaan bagi penstrukturan fiskal dan ekonomi negara selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah telah menerima taklimat daripada Bahagian Dasar Saraan dan Pengurusan, Pejabat Belanjawan Negara, Bahagian Cukai serta Bahagian Fiskal dan Ekonomi.
Tatkala melakukan tinjauan, beliau telah menitipkan semangat buat semua agar melunaskan tugas dengan penuh semangat kesatuan, profesionalisme dan menjunjung ketinggian integriti dan amanah sebagai nilai utama.

Beliau juga menyatakan kepada warga MOF hasrat beliau untuk berkongsi pengalaman korporat serta kemahiran profesional yang beliau timba selama ini dalam membantu Kerajaan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pimpinan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mengemudi bahtera ekonomi ke arah kemajuan baharu buat negara

.