YB Tuan Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan I telah berkesempatan bersama YB Dato' Sri Dr. Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Tenggara di Kota Tinggi, Johor bagi siri jelajah #Bajet2022 untuk mendengar taklimat ringkas tentang rancangan Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Johor Fasa 1 oleh Jabatan Pengairan dan Saliran di jeti Tun Sri Lanang.
Bandar Kota Tinggi telah dilanda banjir dan merupakan banjir yang paling besar dalam sejarah pada 19 Disember 2006 hingga 16 Januari 2007. Kejadian banjir tersebut berulang hampir setiap tahun dan banjir besar direkodkan pada Januari 2011, November 2013, Disember 2014 dan yang terbaru adalah Januari 2021.
Rancangan Tebatan Banjir tersebut akan memberi manfaat kepada anggaran seramai 150,000 orang penduduk setempat manakala luas kawasan banjir yang berjaya dikurangkan adalah seluas 558 hektar serta dianggarkan kerosakan banjir yang dapat dielakkan adalah RM326 juta setahun dan secara tidak langsung dapat meningkatkan aktiviti ekonomi di Kota Tinggi dan menambah keselesaan penduduk setempat. Projek tersebut juga bertujuan mengurangkan risiko penduduk di sekitar kawasan tersebut.