Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Foto

Sesi Taklimat Di Bank Negara Malaysia

Sesi Taklimat Di Bank Negara Malaysia

YB Tuan Steven Sim Chee Keong, Timbalan Menteri Kewangan II telah berkesempatan berada di Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membincangkan isu penipuan kewangan bersama Timbalan Gabenor, Dato' Marzunisham Omar. Hal sebegini amat dekat di hati beliau kerana isu tersebut melibatkan wang hasil keringat rakyat.

Beliau turut meminta pihak BNM sebagai pihak berkuasa sektor perbankan bergembleng dengan agensi-agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) untuk meneliti aspek keselamatan, respons dan pemulangan wang yang ditipu, jaminan kepada pendeposit dan hukuman terhadap pesalah.

Usaha membanteras penipuan kewangan ini memerlukan penglibatan semua pihak, bukan sahaja pihak Kerajaan malah masyarakat perlu terlibat sama. Beliau juga meminta pihak BNM untuk mengkaji perkongsian liabiliti secara adil antara bank dan pendeposit.

Dalam mesyuarat tersebut, BNM juga berkongsi tentang betapa pentingnya keperluan pendekatan “keseluruhan negara" yang melibatkan agensi awam lain, agensi penguatkuasaan undang-undang, sektor swasta dan orang ramai jika negara ingin berjaya mencapai matlamat ini.

Penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang menghimpunkan semua pihak berkaitan untuk penyelarasan yang lebih baik merupakan langkah ke arah yang betul. Contohnya, tindakan mencegah kerugian yang lebih banyak, mengesan dana yang dan menangkap penipu memerlukan laporan segera daripada mangsa dan penyelarasan yang berkesan dengan agensi lain memandangkan banyak langkah penguatkuasaan yang diperlukan berada di luar bidang kuasa BNM.

Usaha meningkatkan kesedaran orang ramai juga sama penting. BNM turut berkongsi bahawa sebanyak 37% rakyat Malaysia berkongsi kata laluan dan/atau nombor PIN mereka dengan kawan rapat. Wujud keperluan mendesak untuk menangani tahap celik kewangan digital yang rendah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pada bulan September 2022, BNM juga telah mengarahkan bank-bank untuk melaksanakan 5 langkah untuk mengukuhkan lagi kawalan dan perlindungan bank-bank terhadap penipuan kewangan: https://bit.ly/3I1IE2n . BNM juga memaklumkan bahawa akan terus memainkan peranan bagi memastikan saluran perbankan dan pembayaran negara kekal selamat dan terjamin.

Arkib Foto

Logo Accessibility