Sesi Taklimat ECERDC sempena Sesi Jelajah #Bajet2022 di Pahang

Sesi Taklimat ECERDC sempena Sesi Jelajah #Bajet2022 di Pahang

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan menghadiri sesi taklimat Pihak Berkuasa Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) mengenai pelan pembangunan ekonomi Wilayah Pahang Barat sempena lawatan rasmi sesi jelajah #Bajet2022 ke negeri Pahang.

Menerusi taklimat tersebut, ECERDC telah bercadang untuk menumpukan kepada galakan pelaburan dalam tiga tunjang utama kepada pelan pembangunan tersebut iaitu pertanian bernilai tinggi, pelancongan lestari dan modal insan. Seperti yang telah beliau lihat di negeri Pahang sebelum ini, negeri tersebut mempunyai aset-aset alam yang harus dipelihara dan dijadikan sebagai hab pertanian negara, malah juga tarikan eko-pelancongan yang dapat meningkatkan lagi sosioekonomi tempatan.

Sebagai contoh, Mossy Forest di Cameron Highlands yang kaya dengan keindahan alam dan pinggiran Sungai Jelai di Lipis yang dihiasi seni bina warisan yang dapat memberikan pelbagai pengalaman pelancongan. Ini sekali gus akan merancakkan lagi ekonomi tempatan yang akan meningkatkan lagi modal insan rakyat negeri Pahang.

Dengan pemulihan ekonomi yang terus berada di landasan yang tepat dan pelan pembangunan ekonomi yang terancang rapi, beliau yakin bahawa negeri Pahang dapat pulih semula sebagai sebuah destinasi pelancongan terkemuka di dunia.