Semasa sesi #TinjauMOF ke Sabak Bernam, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah ke Sekinchan untuk lawatan ke sebuah kilang penghasilan benih padi mentah. Di sana, beliau telah bertemu dengan pengusaha kilang, serta beberapa pesawah padi untuk sesi konsultasi.
Menurut mereka, kebanyakan pesawah padi memerlukan bantuan dari segi penggunaan teknologi moden untuk meningkatkan hasil. Ini secara langsung akan meningkatkan mutu hidup petani dan membangunkan ekonomi setempat.

Beliau telah menerangkan kepada mereka bahawa di bawah Belanjawan 2021, RM960 juta telah diperuntukkan buat pesawah untuk insentif tanaman padi dan RM570 juta untuk subsidi harga padi yang akan memanfaatkan 300,000 pesawah. Selain itu, Kerajaan juga memperuntukkan RM60 juta di bawah inisiatif Modernisasi IR4.0 Agromakanan untuk memperkasa sektor pertanian melalui penggunaan teknologi seperti dron, sistem pertanian pintar, kecerdasan buatan (AI) dan data raya dengan dibantu peningkatan penggunaan mekanisasi.