YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II berkesempatan meninjau penerima bantuan bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Langkawi, Kedah, yang berbelanja barang-barang keperluan harian dan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.
Bantuan bersasar SARA diwujudkan khusus kepada mereka yang memerlukan termasuk golongan miskin tegar dan miskin untuk menangani tekanan kos sara hidup agar mereka dapat merancang perbelanjaan dengan lebih teratur.
Ia melibatkan penggunaan MyKad dengan baki kredit bulanan yang boleh dibawa ke hadapan selama setahun untuk membeli barangan keperluan asas terpilih, kebersihan diri, ubat-ubatan dan kelengkapan persekolahan.
Kedah merupakan negeri yang ketiga tertinggi dalam tuntutan melalui MyKad selepas Kelantan dan Perlis.
Seramai 5.4 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima bantuan tambahan SARA mulai April 2025. Ini terdiri daripada 700 ribu penerima SARA sedia ada dan 4.7 juta penerima STR. Bagi kategori isi rumah, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan manakala golongan warga emas tiada pasangan akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan.
Kadar bantuan SARA ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih bakal menerima RM2,100 untuk tahun 2025 berbanding RM1,200 pada tahun 2024. Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac 2025. Mulai April 2025, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada sehingga RM200 sebulan.
Penambahbaikan ini adalah peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA ke tahap tertinggi dalam sejarah, iaitu RM13.0 bilion berbanding RM10.0 bilion pada tahun lalu.
Sehingga kini kedai-kedai runcit berdaftar berjumlah lebih 1,700 buah di seluruh negara, berbanding dengan 700 buah pada tahun 2024.
Manakala setakat 14 Februari 2025, lebih RM67 juta telah dibelanjakan oleh penerima SARA di kedai-kedai runcit yang berdaftar ini.