YB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II telah turun padang meninjau serta beramah mesra bersama penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Layangan Shopper, Labuan yang turut merupakan operator Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM).
Turut hadir YBhg. Datuk Dr. Shahrazat Haji Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan dan YBhg. Dato’ Dr. Amiruddin Mohamed, Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan, Kementerian Kewangan.
Setakat 24 September 2025, Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia dewasa telah menyaksikan lebih 13 juta rakyat telah berbelanja atau 60% daripada keseluruhan jumlah penerima dengan nilai perbelanjaan melebihi RM1 bilion.
Menariknya, Sabah mencatatkan penebusan Penghargaan SARA tertinggi di seluruh negara, dengan lebih 1.2 juta penerima berbelanja sebanyak RM109.9 juta.
Bagi Wilayah Persekutuan Labuan, daripada 46,545 penerima layak, seramai 30,414 penerima atau 65% telah menggunakan bantuan tersebut dengan jumlah perbelanjaan RM2.6 juta.
Pada masa yang sama, Labuan kini mempunyai 16 kedai Rakan Niaga SARA, yang merangkumi 2 pasar raya dan 14 kedai runcit persendirian di kawasan luar bandar — sekali gus memudahkan rakyat setempat untuk berbelanja secara lebih dekat dan mudah.
Secara keseluruhannya, inisiatif seperti SARA mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.