YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan ke Expo 2020 Dubai untuk melawat Astaka Malaysia yang telah beroperasi sejak 4 bulan lalu.

Tujuan kehadiran Malaysia di Expo 2020 Dubai bukan sahaja bagi memperkenalkan produk-produk Malaysia di pentas antarabangsa, tetapi juga memberi peluang kepada pengunjung dari serata dunia untuk mempelajari mengenai usaha serta hala tuju negara ke arah pembangunan mampan serta keunikan seni dan budaya Malaysia.

Dengan tema "Energising Sustainability", Astaka Malaysia adalah astaka karbon sifar bersih pertama bagi acara dunia tersebut. Daripada seni budaya tradisional dan produk-produk tempatan #KeluargaMalaysia hingga kemampuan teknologi dan usaha-usaha kelestarian, semua dihidangkan untuk tatapan pengunjung. Berdasarkan maklum balas penganjur, trafik pengunjung ke Astaka Malaysia menepati sasaran dan usaha tersebut akan dapat mencapai seramai 1 juta pengunjung di akhir ekspo.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur dan #KeluargaMalaysia Dubai yang telah membanting tulang membawa nama Malaysia di Expo 2020. Beliau berharap usaha sebegini akan membuka lebih banyak peluang kepada Malaysia dalam aspek perdagangan dan pelancongan, sejajar dengan agenda pemulihan ekonomi negara.
