YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan turun padang ke pejabat Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC) untuk berjumpa dengan Pengarah Urusan dan Naib Presiden Eksekutif, Encik Makhtar Diop dan wakil-wakil dari IFC.

Semasa perjumpaan tersebut, beliau telah memberi penerangan mengenai Bajet 2022, terutamanya usaha Kerajaan dalam menggalakkan pelaburan yang lebih berkualiti. Ini termasuk pelbagai insentif cukai dan bukan cukai, serta keutamaan Kerajaan dalam melaksanakan pelan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dalam penyusunan semula strategi Malaysia supaya kekal kompetitif dalam perdagangan dunia dan dapat menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti.

Wakil-wakil dari IFC juga telah menunjukkan minat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai usaha Kerajaan ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), terutamanya perancangan Kerajaan untuk menerbitkan Sukuk Kelestarian sehingga RM10 bilion tahun ini serta aspek-aspek keterangkuman yang bakal memanfaatkan seluruh Keluarga Malaysia melalui pendekatan negara dalam melaksanakan 5G melalui Digital Nasional Berhad (DNB).

Beliau sentiasa mengalu-alukan kedatangan mereka untuk berbincang mengenai usahasama antara Malaysia dan IFC pada masa hadapan. Beliau juga berharap kerjasama antara Kerajaan dan IFC akan diteruskan.