YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur untuk meninjau pengoperasian program vaksinasi. Menurut Dr. Rose Nani Mudin, Pengarah PPV WTCKL, mereka telah berjaya meningkatkan vaksinasi dari 2,600 sehari ke 9,300 sehari dalam tempoh enam minggu. Setakat ini, hampir 345,000 individu telah divaksin di PPV WTCKL.
Ini adalah hasil titik peluh dan kerjasama antara ramai pihak termasuklah sukarelawan kesihatan, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), RELA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), serta rakyat yang telah mendaftar untuk vaksinasi. Inilah contoh kejayaan yang kita harapkan bagi mencapai imuniti kelompok demi kesejahteraan semua.









Beliau turut bertemu dengan para sukarelawan dan bertanya mengenai kesediaan mereka untuk meningkatkan operasi selaras dengan pengumuman YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia bahawa PPV akan beroperasi tujuh hari seminggu dengan tempoh operasi dilanjutkan. Mereka sangat bersemangat dan bersedia untuk menabur bakti agar sasaran imuniti kelompok dapat dicapai dengan lebih cepat.
Menghargai sumbangan mereka, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa saguhati para sukarelawan akan dinaikkan dari RM50 sehari ke RM100 sehari bagi mereka yang bertugas lebih 12 jam. Tambahan saguhati ini akan melibatkan tambahan peruntukan berjumlah RM180 juta daripada peruntukan asal RM147 juta, menjadikan peruntukan keseluruhan RM327 juta.
Sempat juga beliau bertegur sapa dengan rakyat yang hadir untuk janji temu vaksinasi mereka.
Terima kasih kepada semua pihak kerana membantu Kerajaan dalam merealisasikan objektif Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Terima kasih juga kepada Dato’ Seri Dr. Hj Irmohizam Hj Ibrahim, Pengarah Eksekutif WTCKL dan pasukan beliau selaku penyelaras program.
Pihak MOF akan terus memberikan sokongan yang diperlukan demi kebaikan semua.