Sesi Turun Padang ke Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Sayuran dan Buah-buahan di Johor

Sesi Turun Padang ke Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Sayuran dan Buah-buahan di Johor

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan melawat di Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan sayuran dan buah-buahan milik CSC Group di Kulai, Johor.

Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Dato’ Asri Hamidon serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, YB Datuk Samsolbari Jamali.

Beliau berkesempatan ke pusat tersebut untuk meninjau kegiatan CSC Group sebagai satu contoh antara beribu syarikat yang giat dalam rantaian bekalan makanan negara. Pusat yang dibina pada tahun 2010 ini mengumpul hasil daripada lebih 300 petani sekitar Johor. Setiap bulan, lebih 1,600 tan sayur-sayuran dan buah-buahan melalui pusat tersebut sama ada untuk pengedaran mahupun pemprosesan buat pasaran tempatan dan eksport.

CSC Group dan rantaian bekalan petani-petani yang membekal kepadanya adalah antara penerima manfaat Dana Jaminan Makanan bawah Belanjawan 2021. Kerajaan telah mewujudkan dana ini untuk memperkasakan pengeluar dan rantaian bekalan makanan supaya keperluan makanan rakyat lebih terjamin pada masa hadapan. Sebagai negara yang dikurniakan tanah dan iklim yang sesuai untuk pelbagai jenis tanaman, kita bukan sahaja mampu memenuhi keperluan makanan rakyat malah berpotensi menjadi pengeksport makanan utama untuk dunia.

Inilah harapan kita, supaya Malaysia cemerlang dalam teknologi pertanian dan pengeluaran makanan, mengurangkan kebergantungan pada import dan menjadi ‘ladang kepada dunia’.