Sesi Turun Padang Ke Pusat Ternakan Ikan di Johor

Sesi Turun Padang Ke Pusat Ternakan Ikan di Johor

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan melawat pusat ternakan ikan kelah milik Asuko Genius Sdn Bhd.

Menurut pengusaha pusat ternakan tersebut, Dato Mohd Jafni Md Shukor, kaki joran yang berjaya menangkap ikan kelah liar sememangnya akan merasakan diri mereka sebagai seorang ‘juara’. Begitulah hebat reputasi ikan kelah yang dianggap ‘rare’ atau sukar ditangkap dalam habitat liar atau semula jadi.

Pusat ternakan tersebut telah mula beroperasi pada tahun 2010 dan terletak berdekatan Kulai serta menternak sebanyak 4 spesis utama iaitu kelah, patin, baung dan tilapia. ⠀

Antara tujuan beliau berkunjung ke pusat ternakan tersebut adalah untuk menyaksikan hasil daripada salah satu inisiatif bawah Belanjawan 2021, program Projek Pertanian dan Penternakan Berimpak dan Bernilai Tinggi di bawah Dana Jaminan Makanan. Pusat penternakan Asuko Genius adalah salah satu penerima manfaat program tersebut

Beliau amat berbangga melihat usaha gigih Datuk Jafni dan pasukannya dalam usaha membina pusat penternakan lebih sedekad, pastinya bukan kerja mudah. Sehingga kini, pusat ternakan tersebut telah memiliki hampir 30 kolam dan berupaya membiak lebih 30,000 benih ikan.

Benih-benih ikan kebiasaannya dibekalkan ke Hong Kong, Taiwan, Singapura dan China sementara ikan dewasa dijual untuk pasaran tempatan dan juga eksport. Ikan kelah juga bukan sekadar hidangan istimewa di restoran-restoran mewah, tetapi mempunyai permintaan tinggi sebagai ikan hiasan.

Semasa sesi lawatan, beliau juga telah menyaksikan acara penyerahan insentif Dana Jaminan Makanan kepada Pusat Ternakan Asuko Genius yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat melalui Kerajaan Negeri Johor. Kerajaan negeri diwakili Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, YB Datuk Samsolbari Jamali.