YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II turut meluangkan masa untuk melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Nibong di Gelugor, Pulau Pinang bagi menyantuni warga sekolah serta menilai sendiri pelaksanaan Program Anak Kita (PAK) di lapangan.
PAK dilaksanakan di bawah Belanjawan 2025 dengan peruntukan sejumlah RM100 juta yang memanfaatkan lebih 82,000 murid di seluruh Malaysia dengan program intervensi pemulihan pembelajaran. Di bawah program ini, PAK telah berjaya membantu 89% daripada 10,119 murid dari seluruh negara untuk lulus SPM, manakala bagi peringkat negeri Pulau Pinang, Program Pecutan SPM 2024 berjaya membantu 93% daripada 460 calon SPM yang berisiko cicir untuk lulus SPM.
Sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI, Kerajaan komited menaikkan lantai untuk memperkasa golongan pendapatan menengah dan rendah dengan memberi peluang kepada pekerjaan dan pendidikan yang lebih baik. PAK adalah usaha Kerajaan untuk menjamin masa depan anak-anak dalam menyediakan ‘Keterangkuman dan Kesaksamaan Peluang’ serta ‘Akses Kepada Pendidikan’ terutama sekali bagi anak-anak yang berisiko tercicir dari pendidikan.
Program Anak Kita di SMK Sungai Nibong dijayakan melalui kerjasama antara Unit Pantau MADANI, Yayasan Hasanah, Universiti Sains Malaysia dan Pejabat Pendidikan Daerah. Program ini mensasarkan untuk menarik lebih banyak pihak untuk berganding bahu dalam usaha merapatkan jurang pendidikan antara murid dan mencipta peluang buat semua, sekali gus menyemarak potensi generasi muda bagi membina masa depan yang lebih cerah.