Sesi Turun Padang Melawat Projek Pembangunan Semula Kampung Laut, Kelantan

Sesi Turun Padang Melawat Projek Pembangunan Semula Kampung Laut, Kelantan

YB Tuan Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan I telah berkesempatan turun padang ke Kelantan untuk melawat projek pembangunan semula Kampung Laut yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang mana projek tersebut bakal menjadikan Kampung Laut, yang terletak di Jajahan Tumpat sebagai sebuah pusat pelancongan warisan ikonik dan destinasi ‘mesti lawat’ di Kelantan.

Kampung Laut bakal menjadi muzium hidup di mana masyarakat setempat akan berpeluang menjana pendapatan melalui aktiviti kebudayaan seperti persembahan wayang kulit dan permainan wau dan akan menyuburkan kembali minat orang-orang muda untuk menghidupkan kembali aktiviti-aktiviti kebudayaan seumpama ini.

Pemindahan masjid tertua di Malaysia yang masih digunakan iaitu Masjid Kampung Laut dari Nilam Puri ke tempat asal di Kampung Laut juga merupakan salah satu daripada komponen projek tersebut. Pemindahan masjid berusia lebih 300 tahun ini dapat mengekalkan nilai sejarah, budaya dan seni bina masjid serta mencipta mercu tanda warisan di Kelantan.

Projek tersebut dijangka siap pada tahun 2022 dan beliau pasti apabila projek tersebut sudah siap, kawasan di sekitar juga akan menikmati limpahan ekonomi sejajar aktiviti pelancongan di situ.