YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan mengiringi YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri untuk meraikan Hari Alam Sekitar Sedunia (WED) anjuran Khazanah Nasional Berhad di salah satu monumen yang cukup istimewa iaitu Taman Tugu.

Sambutan WED tahun ini yang bertemakan Hanya Satu Bumi (Only One Earth) adalah bukti komitmen Khazanah sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk memelihara alam sekitar serta sumber asli, sekali gus menyokong sasaran Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.
![]() |
![]() |
Malaysia juga komited untuk memastikan kawasan hutan semula jadi meliputi lebih 50 peratus daripada jumlah keluasan negara.
Bagi menyokong pelan tersebut, Kerajaan menerusi Bajet 2022 telah memperuntukkan RM10 juta bagi ‘Kempen Penanaman 100 juta Pokok’ dengan sasaran 20 juta pokok setahun menjelang 2025. Secara keseluruhannya, Kerajaan telah menyediakan RM450 juta kepada pelbagai kementerian untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah segmen alam sekitar dan biodiversiti.
YAB Perdana Menteri juga telah menyaksikan penyerahan perjanjian tanah Taman Tugu daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada Amanah Warisan Negara (AWAN). Ini merupakan satu lagi komitmen Kerajaan dalam melindungi alam sekitar dan merupakan satu langkah penting ke arah memastikan Taman Tugu dipelihara untuk generasi akan datang. AWAN telah memainkan peranannya dengan sangat cemerlang untuk memelihara, memulihara dan mengurus Taman Tugu, sekali gus menjadikan taman rimba bandar tersebut setanding dengan kawasan hijau lain di bandar-bandar utama dunia.
Majlis sambutan tersebut turut dihadiri oleh YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan, YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli dan Datuk Seri Hj. Mahadi Che Ngah, Datuk Bandar Kuala Lumpur serta barisan kepimpinan Khazanah dan AWAN.
