YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan I telah berkesempatan meluangkan masa untuk melawat Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Langkawi di Bangunan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), di mana ia dibina dalam usaha untuk memupuk nilai Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di kalangan komuniti luar bandar.
Melalui ruang tersebut, masyarakat setempat berpeluang untuk menjalankan aktiviti inovasi dengan menggunakan teknologi sedia ada seperti pencetak 3D, robotik, dron dan lain-lain peralatan secara praktikal, sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan, produktiviti serta ekonomi komuniti setempat melalui olahan idea dan kreativiti yang dapat dipasarkan.
Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Langkawi merupakan kerjasama di antara YIM, LADA dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Melalui hub ruang reka yang dibangunkan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan untuk mewujudkan satu ekosistem dalam ekonomi diterajui sains, teknologi dan inovasi yang akan memudahkan pembangunan teknologi tempatan. Selain itu, hub tersebut juga dapat mewujudkan peluang ekonomi dan melahirkan bakat-bakat tempatan di dalam bidang sains dan inovasi.