Bagi memastikan kelancaran projek-projek naik taraf dan pembangunan dilaksanakan mengikut jadual, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan turun padang bagi meninjau Projek Pembangunan Fizikal Kampung Angkat MADANI Kementerian Kewangan (MOF) di Mukim Hulu Besut, Terengganu.
Turut serta dalam tinjauan itu ialah YB Dato’ Nara Setia, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, YBrs. Tuan Ramzi Mansor, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), YBrs. Tuan Haji Ahmad Nazwawi Harun, Pegawai Daerah Besut, Pegawai-pegawai kanan MOF dan wakil - wakil komuniti tempatan.
Dalam lawatan tersebut, YBhg. Datuk Johan melihat sendiri sebanyak tujuh projek fizikal yang sedang dibina dan 10 projek infrastruktur yang dinaik taraf bagi kemudahan dan kelengkapan penduduk Kampung Angkat MADANI Hulu Besut.
Melalui program Kampung Angkat MADANI yang diaspirasikan oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, ia bertujuan mencari kaedah terbaik dalam memudah cara dan mempercepatkan pelaksanaan projek kecil di kawasan kampung bagi merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dan bandar.
Kriteria yang menjadi keutamaan terhadap pemilihan Kampung Angkat MADANI adalah kampung yang mempunyai liputan kemudahan di bawah 50 peratus atau mempunyai kemudahan asas daif dan tidak lengkap serta memerlukan perhatian khusus bagi melengkapkan keperluan kemudahan asas.
Sebanyak 10 buah kampung di Mukim Hulu Besut, Terengganu ini menerima pelbagai manfaat melalui peruntukan RM2.5 juta yang disalurkan bagi pembangunan prasarana dan kemudahan asas untuk penduduk di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI MOF.
Antara pelaksanaan kemudahan di perkampungan berkenaan ialah menaiktaraf jalan perhubungan desa, surau, padang bola, bekalan air bersih serta pembaikan fasiliti tanah perkuburan.
Selain itu, penduduk turut menerima 25 buah bot sebagai persediaan bencana banjir, pembinaan jambatan kecil dan naik taraf sistem perparitan.