Pilih bahasa anda
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II telah mengadakan sesi walkabout di sekitar Fort Cornwallis, North Seawall, Astaka Kota Selera dan Padang Kota Lama, George Town bagi meninjau kemajuan projek pemuliharaan warisan, penaiktarafan fasiliti awam serta inisiatif kelestarian persekitaran di kawasan ikonik Pinggir Laut Utara (North Seafront).
Think City, anak syarikat Khazanah Nasional Berhad (KNB), bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan agensi Persekutuan menerusi pendekatan kerjasama awam-swasta dalam usaha memelihara dan memulihkan Fort Cornwallis, yang menjadi antara komponen utama Pelan Induk Pinggir Laut Utara (North Seafront Master Plan). Kerajaan Negeri menyediakan hala tuju dasar, manakala Think City memainkan peranan dalam perancangan bandar, strategi pemuliharaan serta pengurusan pelaksanaan projek di lapangan.
Tinjauan turut merangkumi pembangunan infrastruktur East Seafront, perancangan landskap di Lebuh Light serta pelaksanaan inisiatif Adaptasi Iklim Berasaskan Alam Semula Jadi (Penang Nature-based Climate Adaptation), yang diintegrasikan dengan pembangunan Astaka Kota Selera.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memastikan pembangunan bandar dilaksanakan secara seimbang dengan usaha memelihara warisan, mempertingkatkan kemudahan awam serta memperkukuh daya tarikan kawasan bersejarah sebagai destinasi pelancongan.
Turut hadir wakil pengurusan KNB, Think City serta Pasukan Belanjawan 2027.