Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menganjurkan satu Sesi Zoom bersama beberapa orang influencer dalam kalangan rakyat bagi mendengar secara terus suara rakyat tanpa sebarang tapisan.
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan turut dimaklumkan oleh KWSP bahawa peserta dari kumpulan Facebook turut dijemput dan topik perbincangan adalah memberi fokus kepada i-Sinar, i-Lestari dan bantuan-bantuan Kerajaan.
Beliau yang tidak dapat hadir pada sesi tersebut kerana tugasan yang tidak dapat ditangguhkan telah menyediakan satu rakaman video khas untuk tontonan para peserta.
Sesi yang telah dirakam tersebut turut telah ditonton kembali oleh beliau bagi meneliti idea dan cadangan yang bersesuaian untuk dipertimbangkan.
Pihak KWSP dan Kementerian Kewangan sentiasa mendengar luahan dan keluhan rakyat. Bagi beliau, sesi sebegini adalah sebahagian usaha MOF untuk mendapatkan maklum balas bagi membentuk dasar dan inisiatif yang memenuhi keperluan dan kehendak rakyat.
Sebelum ini, beliau turut telah bermesyuarat bersama YBhg. Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP dan pengurusan kanan KWSP bagi memperhalusi bantuan yang sesuai untuk Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Bercakap tentang PPN, pihak MOF sedar bahawa rakyat memerlukan bantuan bagi mengharungi Fasa 1 dan fasa-fasa seterusnya.
Beliau menekankan bahawa Kerajaan sentiasa mempertimbangkan semua cadangan dan penyelesaian yang dikemukakan. Salah satu permintaan yang sering pihak MOF terima ialah perlanjutan program i-Sinar dan i-Lestari.
Kerajaan faham dan bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi rakyat.
Pada masa yang sama beliau turut memaklumkan terdapat juga para pencarum dan pengulas ekonomi yang mengkritik Kerajaan kerana mereka tidak mahu dividen dan simpanan hari tua rakyat tergugat disebabkan Kerajaan membenarkan pengeluaran secara besar-besaran di KWSP.
Walau bagaimanapun, pihak MOF akan mencari jalan penyelesaian yang mampu memenuhi keperluan semua pihak dalam menangani isu ini.