Pilih bahasa anda
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, mengadakan Taklimat Media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel Negeri Sabah 2026 di Kota Kinabalu, Sabah bersama-sama YB Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah.
Menurut YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah, rakyat Malaysia yang layak akan mendapat diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter mulai 1 Julai 2026, lebih rendah berbanding harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter yang berkuat kuasa ketika ini di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Melalui BUDI Diesel, subsidi Kerajaan hanya akan disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak melalui pengesahan MyKad. Ini memastikan golongan bukan warganegara dan pihak yang tidak layak tidak lagi menikmati subsidi diesel Kerajaan.
Mengambil kira keadaan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang lebih bergantung kepada penggunaan kenderaan pikap dan jip, pemilik kenderaan kategori tersebut boleh memohon tambahan 100 liter sebulan, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan.
Bagi Sabah, Kerajaan Persekutuan sedang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan termasuk Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) bagi mendapatkan serta memuktamadkan data penerima yang layak, termasuk senarai pengusaha dan pengguna bot yang memerlukan diesel bersubsidi melalui mekanisme yang bersesuaian.
Kesiapsiagaan stesen minyak di Sabah juga ditinjau melalui lawatan ke stesen minyak di Tuaran menjelang pelaksanaan penuh BUDI Diesel pada 1 Julai 2026. Antara aspek yang diberi perhatian termasuk kelancaran sistem pengesahan MyKad, kesiapsiagaan petugas stesen minyak serta keupayaan proses transaksi di pam.
Kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri, syarikat minyak, pengusaha stesen minyak dan agensi pelaksana bagi memastikan pelaksanaan BUDI Diesel berjalan lancar serta manfaat subsidi sampai kepada rakyat Malaysia yang layak.