Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Belanjawan 2021: Pelancaran Laman Sesawang, Pihak Awam Dijemput Beri Cadangan

Belanjawan 2021: Pelancaran Laman Sesawang, Pihak Awam Dijemput Beri Cadangan

15 Ogos 2020 – YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia telah melancarkan portal rasmi bagi mengumpulkan cadangan dan maklumbalas Belanjawan 2021 semasa lawatan rasmi ke Johor pada hari ini bersempena dengan Jelajah Konsultasi Belanjawan 2021.

Melalui laman sesawang belanjawan2021.treasury.gov.my, pihak awam boleh mengemukakan cadangan dan maklumbalas masing-masing terus kepada Kementerian Kewangan. Portal tersebut mula dibuka pada hari ini 15 Ogos sehingga 15 September 2020.

Lawatan rasmi ke negeri Johor kali ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Persekutuan untuk mendekati pihak berkepentingan, melalui sesi libat urus bagi mendapatkan maklumbalas mengenai inisiatif pakej pemulihan ekonomi PRIHATIN dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), serta mengumpul cadangan awal dalam merangka Bajet 2021 yang bakal dibentangkan pada 6 November ini.

Ketika lawatan tersebut, YB Menteri Kewangan telah mengadakan sesi dialog bersama wakil sektor pendidikan dan farmaseutikal, serta usahawan PKS wanita. Beliau juga berjumpa dengan beberapa ibu tunggal yang merupakan penerima bantuan di bawah PENJANA.

Antara topik yang diketengahkan ketika sesi dialog bersama wakil sektor pendidikan di Educity Iskandar Malaysia termasuklah usaha mempromosi institusi pendidikan di Iskandar Malaysia sebagai destinasi pendidikan berkualiti dari peringkat sekolah hingga ke pengajian tinggi; memperkasakan bidang teknikal dan vokasional (TVET); memudahcara pengurusan kemasukan pelajar antarabangsa dalam era norma baharu; dan meningkatkan pelaburan dalam sektor pendidikan.

Ketika sesi bersama golongan usahawan wanita PKS, YB Menteri Kewangan telah berkongsi bahawa daripada lebih 900,000 PKS yang didaftarkan, satu perlima perniagaan dimiliki atau dikendalikan oleh wanita. Cabaran perniagaan mereka termasuklah akses kepada pembiayaan, serta pemerkasaan dari segi digitalisasi bagi meningkatkan pendapatan. Beliau juga berkongsi, sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan dan masih boleh dimanfaatkan khususnya oleh usahawan wanita, di bawah Skim Mikrokredit PENJANA yang diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional.

Dalam sesi bersama persatuan industri farmaseutikal (Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries - MOPI), antara topik yang dibincang termasuklah memastikan keselamatan sumber perubatan, penarikan pelaburan antarabangsa, dan peningkatan kerjasama Kerajaan-swasta bagi mengangkat industri ini ke peringkat global. Sesi ini turut disertai bersama oleh YB Dato Sri’ Dr Adham bin Baba, Menteri Kesihatan.

Dalam mengulas status ekonomi semasa, YB Menteri Kewangan telah berkongsi bahawa pertumbuhan KDNK suku kedua tahun 2020, yang merekodkan penguncupan sebanyak 17.1%, adalah disebabkan oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19, yang telah mengekang aktiviti ekonomi pada tempoh tersebut. Walau bagaimanapun, apabila dianalisa secara lebih mendalam, penguncupan KDNK jelas dilihat berkurangan dari bulan April (-28.6%) kepada bulan Mei (-19.5%), dan seterusnya penambahbaikan mendadak berbentuk-V (V-shaped recovery) bagi bulan Jun (-3.2%). Ini jelas menunjukkan bahawa ekonomi pulih mulai bulan Mei, iaitu apabila ekonomi dibuka semula secara berperingkat dan kadar jangkitan COVID-19 lebih terkawal.

Sebelum lawatan kerja ke Johor hari ini, YB Menteri Kewangan telah mengadakan lawatan dan sesi dialog ke beberapa negeri termasuk Melaka dan Pulau Pinang serta berinteraksi dengan warga belia di Selangor, menerusi program Jelajah Konsultasi Belanjawan 2021. Kementerian mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sesi konsultasi ini.


Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
15 Ogos 2020

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility