Jawatankuasa Khas Kewangan Islam (JKKI) yang diberikan mandat untuk mempromosi dan menggalakkan pembangunan kewangan Islam seperti yang telah diumumkan sebelum ini, akan terus diperkukuh dan ditambah baik selaras dengan tambahan mandat baharu yang telah diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober 2019 yang lepas. Semasa pembentangan tersebut, Kerajaan berhasrat supaya satu blueprint ekonomi Islam dapat disediakan oleh JKKI, disamping meneruskan program-program outreach kepada masyarakat bagi meningkatkan keterlihatan (visibility) mengenai kepentingan dan manfaat kewangan Islam kepada setiap segmen masyarakat.
Bagi tujuan penyediaan blueprint ekonomi Islam, JKKI akan mengambil pendekatan yang pragmatik dan turut mendokong matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030). Ini adalah bertujuan untuk memastikan matlamat utama WKB2030 iaitu menyediakan taraf hidup wajar kepada semua rakyat melalui penstrukturan semula ekonomi, menangani ketidaksamaan dan membina semula negara dapat dicapai.
JKKI akan menjalinkan kerjasama erat dengan agensi Kerajaan, Badanbadan Bukan Kerajaan (NGO) serta pelbagai pihak berkepentingan (stakeholders) yang lain bagi memastikan bahawa blueprint ini kelak dapat menyerlahkan kekuatan sedia ada negara dalam kewangan Islam. Mesyuarat JKKI Bilangan 3/2019 pada 13 Disember 2019 telah bersepakat supaya pembentukan blueprint ekonomi Islam ini yang akan mengambil kira beberapa pelan jangka panjang negara yang sedang dirangka adalah bersifat holistik melalui penerapan nilai ekonomi Islam dalam pembangunan negara secara lebih menyeluruh dan mencakupi setiap aktiviti dan rantaian ekonomi.
Sayangi Malaysiaku! 🇲🇾
YB Dato’ Wira Haji Amiruddin bin Haji Hamzah
Timbalan Menteri Kewangan Merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Khas Kewangan Islam (JKKI)
Putrajaya
18 Disember 2019