Pilih bahasa anda
Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON97 menurun sebanyak 20 sen seliter, manakala harga runcit RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing menurun sebanyak 15 sen seliter, bagi tempoh 19 November hingga 25 November 2026.
Harga Runcit
| Bahan Api | Harga Runcit | Perubahan |
|---|---|---|
| RON97 | RM4.00 seliter (harga 18 November 2026: RM4.20 seliter) | Turun 20 sen |
| RON95 | RM3.72 seliter (harga 18 November 2026: RM3.87 seliter) | Turun 15 sen |
| Diesel | RM4.72 seliter (harga 18 November 2026: RM4.87 seliter) | Turun 15 sen |
Harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau menunjukkan penurunan dalam tempoh pengiraan APM, seiring dengan penyederhanaan harga minyak mentah dunia. Perkembangan ini mencerminkan tekanan harga yang semakin berkurangan dalam pasaran petroleum antarabangsa.
Pada masa sama, jangkaan peningkatan bekalan minyak mentah global turut mempengaruhi pergerakan harga petroleum dunia. Bagaimanapun, bekalan produk petroleum bertapis masih berdepan beberapa kekangan yang boleh mempengaruhi kestabilan harga pasaran.
Ketidaktentuan geopolitik dan risiko gangguan penghantaran petroleum masih boleh menjejaskan bekalan global. Sehubungan itu, harga petroleum dunia dijangka terus mengalami turun naik dalam tempoh terdekat.
Kerajaan MADANI kekal komited melindungi rakyat dan perniagaan melalui pelaksanaan subsidi bahan api bersasar BUDI MADANI. Peruntukan hampir RM40 bilion disediakan untuk subsidi bahan api pada tahun hadapan bagi membantu rakyat mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Perlindungan melalui BUDI MADANI
Melalui BUDI95, penerima yang layak terus menikmati harga RON95 pada RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM3.72 seliter. Ini bermakna Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.73 bagi setiap liter, bersamaan 47% daripada harga tanpa subsidi.
Bagi BUDI Diesel pula, penerima yang layak terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM4.72 seliter, dengan Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.62 seliter atau 56% daripada harga tanpa subsidi.
Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:
| Bahan Api | Harga Subsidi |
|---|---|
| RON95 (BUDI95) | RM1.99 seliter |
| Diesel (BUDI Diesel) | RM2.10 seliter |
| Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) | RM2.05 seliter |
| Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) | RM2.15 seliter |
Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepad had kelayakan bulanan.
Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
18 November 2026
↓ Muat turun: Harga Petrol Dan Diesel Tanpa Subsidi Terus Menurun, Kerajaan Madani Kekal Komited Lindungi Rakyat