Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Hasil rundingan semula antara Kementerian Kewangan dan pemaju swasta untuk Projek Bandar Malaysia, syarat-syarat kontrak telahpun ditambahbaik dan menguntungkan Malaysia, dengan nilai lebih daripada RM4 bilion

Hasil rundingan semula antara Kementerian Kewangan dan pemaju swasta untuk Projek Bandar Malaysia, syarat-syarat kontrak telahpun ditambahbaik dan menguntungkan Malaysia, dengan nilai lebih daripada RM4 bilion

Kerajaan telah membuat keputusan untuk meneruskan semula projek pembangunan Bandar Malaysia dengan nilai pembangunan kasar (Gross Development Value) sebanyak RM140 bilion, setelah melakukan rundingan semula untuk mendapatkan terma terbaik untuk rakyat dan negara Malaysia, dan membersihkan projek ini daripada unsur-unsur skandal 1MDB. Hasil rundingan semula di antara Kementerian Kewangan dan pemaju swasta untuk projek bandar Malaysia, syarat-syarat kontrak telah pun berjaya ditambahbaik dan menguntungkan Malaysia, dengan nilai lebih daripada RM4 bilion.

Dakwaan liar pihak tidak bertanggungjawab bahawa projek ini diteruskan sahaja seperti dahulu, bukan sahaja tidak berasas, malah sengaja mahu mengelirukan rakyat dan mengalih perhatian daripada kejayaan menambahbaik terma kontrak dan menguntungkan negara dengan sekurang-kurangnya RM4 bilion. Seperti umum diketahui, Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Corp (CREC) sebagai sebuah konsortium telah memenangi tender untuk membangunkan Bandar Malaysia pada tahun 2015.

Namun pada Mei 2017, perjanjian ini telah dibatalkan oleh pentadbiran terdahulu apabila skandal 1MDB mulai terbongkar. Setelah proses detoksifikasi dijalankan oleh kerajaan baru ke atas projek ini terhadap unsur-unsur skandal 1MDB, maka keputusan dibuat untuk meneruskan semula perjanjian tersebut bila terbukti ia masih berupaya menjana manfaat ekonomi terhadap pembangunan dalam bandar bagi Malaysia.

Susulan penandatanganan Perjanjian Rangka Kerja pada 25 April 2019, Majlis Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Penasihat Pembangunan Bandar Malaysia bawah Kementerian Kewangan untuk merunding semula terma-terma baharu yang lebih baik bagi memastikan projek ini benar-benar manfaatkan negara dan rakyat Malaysia. Berbanding perjanjian asal yang dirunding oleh Kerajaan terdahulu, perjanjian baharu yang ditandatangani hari ini dan dirunding Kerajaan hari ini mengandungi terma-terma yang ditambah baik seperti berikut:

Jadual 1: Ringkasan penambahbaikan Perjanjian Penjualan Saham baharu yang ditandatangani pada 17 Disember 2019

  Perjanjian lama ditandatangani 31 Disember 2015 Perjanjian Baharu ditandatangani 17 Disember 2019
Terma Bayaran Harga pembelian dibayar dalam tempoh 7 tahun Harga pembelian dibayar dalam tempoh 3 tahun
Deposit Deposit RM741 juta Deposit RM741 juta dan bayaran pendahuluan RM500 juta
Taman dan kawasan rekreasi Keperluan piawaian DBKL sebanyak 10% (Taman dan kawasan rekreasi selluas 48.6 ekar) Taman dan kawasan rekreasi seluas 85 ekar
Rumah mampu milik 5,000 unit 10,000 unit
Dividen daripada penjualan tanah Dividen berdasarkan pegangan saham, iaitu 60% kepada IWH CREC Sdn Bhd (ICSB) dan 40% kepada TRX City Sdn Bhd (TRXC) (Kerajaan) Dividen dibahagikan 50:50 kepada ICSB dan TRXC Kerajaan)

Jelas sekali hasil rundingan semula perjanjian Bandar Malaysia lebih bermanfaat kepada Kerajaan dan rakyat Malaysia, khususnya tambahan 5,000 unit rumah mampu milik kepada 10,000 unit dan tambahan kawasan taman hijau daripada 48.6 ekar kepada 85 ekar. Hanya selepas perubahan kerajaan pada pilihanraya umum 2018, barulah projek Bandar Malaysia ini dapat dibebaskan daripada unsur-unsur skandal 1MDB dan menghasilkan projek Bandar Malaysia yang baru dengan manfaat tambahan sebanyak RM4 bilion.

Sayangi Malaysiaku! 🇲🇾


Lim Guan Eng
Menteri Kewangan

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
18 Disember 2019

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility