Inisiatif Program Fasiliti Sokongan Akaun 2 KWSP
Berikutan pertanyaan media yang diterima, Kementerian Kewangan (MOF) ingin menjelaskan bahawa seperti yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini:
- Kerajaan tidak akan pertimbangkan sebarang pengeluaran tambahan baharu simpanan KWSP kerana pengeluaran khas tersebut merupakan langkah untuk membendung impak COVID-19. Malah, berdasarkan OECD, kesemua negara yang telah membenarkan pencarum untuk mengeluarkan sebahagian daripada tabung persaraan mereka semasa pandemik telahpun memberhentikan fasiliti pengeluaran awal daripada tabung persaraan sejak 2021.
- Bagi memberi ruang kepada ahli yang mempunyai simpanan di dalam KWSP tetapi terdesak untuk mendapatkan sumber kewangan tunai, tanpa perlu membuat pengeluaran daripada simpanan KWSP mereka, Kerajaan kini sedang memuktamadkan Inisiatif Program Fasiliti Sokongan Akaun 2. Ini akan memberi kemudahan untuk ahli KWSP menggunakan baki simpanan dalam Akaun 2 sebagai sandaran bagi mendapat pembiayaan daripada institusi perbankan.
- Inisiatif ini tidak akan membebankan rakyat kerana kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) yang akan dikenakan oleh institusi perbankan yang terlibat di dalam inisiatif ini dijangka di antara 4% hingga 5% setahun. Kadar ini adalah jauh lebih rendah daripada kadar pasaran semasa pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan yang dikenakan pada sekitar 8% hingga 15%.
- Inisiatif ini juga tidak bercanggah Seksyen 51, Akta KWSP 1991 kerana baki simpanan dalam Akaun 2 hanya digunakan sebagai sandaran melalui pengeluaran pada umur persaraan. Ini adalah selaras dengan objektif pelaburan KWSP sebagai sebuah dana persaraan jangka panjang untuk melindung dan menambah nilai simpanan ahli melalui pengisytiharan kadar dividen yang stabil dan mampan.
Maklumat terperinci mengenai inisiatif ini akan diumumkan oleh KWSP kelak.
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
21 Mac 2023