Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS), yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kewangan II YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, hari ini bersetuju dengan empat inisiatif penting bagi menangani kos penjagaan kesihatan swasta yang semakin meningkat.
Inisiatif yang diumumkan hari ini merupakan sebahagian daripada strategi RESET iaitu usaha kolaboratif antara Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia, ahli akademik dan pihak berkepentingan utama daripada sektor swasta untuk menangani inflasi perubatan dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan Malaysia supaya dapat diakses dengan lebih mudah, lebih banyak pilihan dan lebih mampan.
YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad berkata, "RESET merupakan suatu pencapaian penting bagi pendekatan seluruh negara. Dengan memberikan keutamaan pada penjagaan berasaskan nilai, usaha ini memastikan hasil kesihatan yang kukuh terus menjadi teras dalam usaha kita untuk mengurangkan inflasi dan memastikan penjagaan kesihatan terus mampu milik. Inisiatif sektor swasta ini melengkapkan sistem penjagaan kesihatan awam kita, lantas memastikan penjagaan yang berkualiti terus boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira sama ada mendapat perkhidmatan daripada swasta atau awam untuk jangka masa panjang."
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut berkata, "Pelan MHIT asas merupakan langkah yang sangat penting ke arah memperluas akses kepada perlindungan yang berterusan. Walau bagaimanapun, strategi RESET mengakui bahawa usaha menangani inflasi perubatan memerlukan seluruh ekosistem yang diperkukuh, iaitu menyediakan perlindungan dan pada masa yang sama memodenkan penyampaian penjagaan tersebut. Melalui kerjasama semua pihak, kita boleh membuat perubahan yang berpanjangan yang akan melindungi individu dengan lebih baik dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara."
Empat inisiatif tersebut merangkumi:
JBMKKS juga mengalu-alukan usaha yang sedang diambil oleh Jawatankuasa Protokol & Penyelesaian Rakan Strategik Penjagaan Kesihatan (Healthcare Partners Protocol & Solutions Committee, HPPSC) (sebelum ini dikenali sebagai Jawatankuasa Mekanisme Aduan (Grievance Mechanism Committee, GMC)) untuk menghasilkan protokol tuntutan yang jelas yang akan menangani pertikaian. Selain itu, JBMKKS juga mengambil maklum perkembangan kajian Bank Dunia mengenai inflasi perubatan. Kajian ini dijadualkan untuk penerbitan pada bulan Februari 2026.
Pada tahun 2026, JBMKKS sedang meneruskan pelaksanaan langkah-langkah memperkemas pelesenan bagi model penjagaan mampu milik, menyusun semula bil hospital supaya lebih telus serta mendorong tahap saling boleh kendali Rekod Perubatan Elektronik (Electronic Medical Records, EMR).
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai RESET dan JBMKKS, sila lawati mof.gov.my/ms/reset atau hq.moh.gov.my/reset_moh.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
22 Januari 2026
Muat Turun:
Mengenai RESET
RESET ialah usaha kolaboratif oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia dan pihak berkepentingan utama untuk menangani inflasi perubatan dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan Malaysia supaya dapat memperluas akses dan lebih mampan. Tumpuan yang lebih teliti diberikan kepada penjagaan kesihatan berasaskan nilai dalam usaha menambah baik hasil bagi pesakit, mengoptimumkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menjimatkan kos serta meningkatkan akses kepada penjagaan berkualiti. RESET merangkumi lima teras strategik untuk menangani cabaran dalam sistem penjagaan kesihatan swasta Malaysia melalui 11 inisiatif. Lima teras strategik tersebut ialah:
Mengenai JBMKKS
Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) ditubuhkan pada 25 Jun 2025 oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan untuk menangani kenaikan kos penjagaan kesihatan swasta dan inflasi perubatan. Jawatankuasa ini dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kewangan II YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, serta melibatkan wakil-wakil daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia. JBMKKS memainkan peranan penting dalam memacu dan memantau inisiatif di bawah rangka kerja RESET melalui libat urus dan kerjasama yang berterusan. Bagi memastikan sokongan yang menyeluruh, Jawatankuasa ini dipandu oleh Majlis Perundingan yang ahlinya terdiri daripada pihak berkepentingan utama daripada hospital swasta, syarikat insurans dan pengendali takaful, doktor perubatan, kumpulan pengguna dan ahli akademik.