KDNK Malaysia dijangka berkembang pada kadar 6.0% - 7.5% bagi tahun 2021 berikutan permintaan luaran yang lebih kukuh dan peningkatan aktiviti domestik, menurut Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2020 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang diterbitkan hari ini. Ini adalah selaras dengan anggaran Bank Dunia (6.0%) dan Dana Kewangan Antarabangsa (6.5%), di mana kedua-duanya mengunjurkan bahawa Malaysia bakal mencapai salah satu kadar pertumbuhan ekonomi yang tertinggi di rantau ini.
Yang lebih utama, ekonomi diunjurkan untuk kembali ke tahap pra-pandemik 2019 seawal pertengahan 2021, disokong oleh, antara lainnya, peningkatan permintaan luaran berikutan peningkatan penggunaan teknologi, langkah pembendungan COVID-19 yang lebih bersasar, pelaksanaan pelan vaksinasi COVID-19 yang kemas dan tersusun, pemulihan keadaan pasaran buruh secara beransur-ansur, pengeluaran sektor pembuatan dan komoditi yang lebih tinggi serta kesinambungan projek infrastruktur awam seperti MRT2, LRT3 dan JENDELA.
Kami juga percaya bahawa langkah fiskal telah dan akan terus memainkan peranan penting dalam respons Kerajaan terhadap pandemik COVID-19 bagi menjamin pemulihan Malaysia pasca-COVID-19, seperti yang diperincikan dalam laporan Fiscal Updates 2020 Kementerian Kewangan yang diterbitkan hari ini. Tindakan segera Kerajaan dalam memperkenalkan pelbagai langkah dasar pada tahun 2020 melalui empat pakej rangsangan berjumlah RM305 bilion (atau 20% dari KDNK) bertujuan bukan hanya untuk meredakan impak krisis, tetapi juga untuk memastikan PKS dan golongan rentan dibantu secukupnya. Bantuan langsung seperti Bantuan Prihatin Nasional (RM16.1 bilion), Program Subsidi Upah (PSU - RM13.0 bilion), Geran Khas PRIHATIN untuk PKS (RM2.5 bilion), dan projek berskala kecil (RM2.9 bilion) telah membantu menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan, serta mengehadkan penguncupan KDNK kepada 5.6% pada tahun 2020.
Langkah fiskal tersebut dan dasar yang lain, termasuk peruntukan di bawah Belanjawan 2021, Pakej Bantuan PERMAI dan program PEMERKASA, telah dan akan terus memainkan peranan yang penting dalam membendung pandemik COVID-19 bagi menjamin pemulihan negara pasca-COVID-19.
Terdapat beberapa tanda pemulihan ekonomi yang menggalakkan, termasuk:
Seterusnya, pengesahan Moody’s mengenai penarafan Malaysia baru-baru ini dan keputusan FTSE Russell untuk mengekalkan Malaysia dalam World Government Bond Index (WGBI) membuktikan bahawa Malaysia telah melaksanakan tindak balas yang amat tersusun terhadap wabak tersebut, dan mempunyai asas makroekonomi yang kukuh dan berdaya tahan.
STRATEGI 6R & 5 FOKUS UTAMA UNTUK PEMULIHAN EKONOMI 2021
Kita kini berada di fasa kelima di dalam Strategi Pemulihan Ekonomi Negara 6R (Resolve, Resilient, Restart. Recovery, Revitalise and Reform). Fasa ini merangkumi pelaksanaan Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion, jumlah terbesar dalam sejarah negara, digabungkan dengan Pakej Bantuan PERMAI (RM15 bilion) dan program PEMERKASA (RM20 bilion). Kesemua ini akan mendorong pemulihan ekonomi Malaysia dengan memberi tumpuan kepada fokus utama berikut:
Empat keberhasilan yang disasarkan oleh Kerajaan untuk tahun 2021 termasuk mencapai imuniti kelompok menjelang Disember 2021 (tiga bulan lebih awal dari jadual); PKP Diperketatkan (PKPD) Bersasar, berdasarkan data dan hanya jika perlu; mendorong pemulihan ekonomi dengan memastikan pembukaan semua sektor ekonomi dan peningkatan penguatkuasaan SOP untuk membendung wabak ini.
Saya yakin bahawa pemulihan ekonomi kita berada di landasan yang tepat dan pelbagai dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan menyumbang kepada pemulihan ekonomi yang kukuh pada tahun 2021, berlandaskan komitmen penuh Kerajaan bagi mencapai konsolidasi fiskal dalam jangka sederhana hingga panjang.
YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
31 Mac 2021