Ekonomi Malaysia meneruskan momentum pemulihan dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2022 (S2 2022) mencapai pertumbuhan 8.9%, lebih kukuh berbanding 5.0% yang dicatat pada suku pertama 2022 (S1 2022) dan lebih kukuh berbanding prestasi ekonomi beberapa negara maju dan serantau (China: 0.4%, Amerika Syarikat: 1.6%, EU: 4.0%, Korea: 2.9%, Singapura: 4.4%, Indonesia: 5.4%, Filipina: 7.4%). Dengan pencapaian S2 2022 tersebut, pertumbuhan bagi separuh tahun pertama 2022 adalah 6.9% dan jangkaan suku ketiga (S3 2022) terus kukuh. Justeru, Kerajaan yakin ekonomi Malaysia mampu mencapai unjuran KDNK rasmi 2022, iaitu di antara 5.3% dan 6.3%.
Perkembangan S2 2022 yang memberangsangkan ini antara lain adalah hasil daripada dasar fiskal yang mengembang melalui Bajet 2022, limpahan positif dari pakej bantuan dan rangsangan ekonomi dan Bajet 2022, serta dasar monetari yang kekal akomodatif. Bersama dengan pembukaan semula ekonomi sepenuhnya dan sempadan antarabangsa, ianya mendorong pertumbuhan penggunaan swasta sebanyak 18.3% (berbanding S1 2022: 5.5%) yang merupakan penyumbang utama kepada KDNK. Selain itu, pertumbuhan S2 2022 juga disokong oleh pemulihan pasaran buruh yang berterusan dan peningkatan permintaan dalam dan luar negara, terutamanya melalui sektor perkhidmatan dan pembuatan.
Sepanjang S2 2022, KDNK bulanan terus berkembang bagi bulan April (5.6%), Mei (5.0%) dan Jun (16.5%). Antara indikator ekonomi yang telah menunjukkan trend pertumbuhan adalah seperti berikut:
Bagi pasaran modal dan kewangan Malaysia,
MELANGKAH KE HADAPAN
Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka terus disokong oleh aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih rancak, serta permintaan domestik dan luar yang terus kukuh berikutan peralihan negara ke Fasa Endemik dan pembukaan sempadan antarabangsa. Momentum pertumbuhan ekonomi dijangka terus kukuh pada suku S3 2022, didorong oleh prestasi perdagangan luar dan sektor pelancongan yang memberangsangkan.
Namun demikian, Kerajaan sentiasa berwaspada bagi tempoh separuh tahun kedua 2022, di mana prospek ekonomi masih berhadapan dengan risiko pertumbuhan yang lebih sederhana berikutan ketidaktentuan ekonomi global berpunca terutamanya daripada konflik Rusia- Ukraine yang berpanjangan serta prestasi ekonomi China yang perlahan berikutan pelaksanaan langkah ketat bagi mengekang penularan COVID-19. Risiko-risiko tersebut telah menyebabkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak semula unjuran pertumbuhan global bagi tahun 2022 daripada 3.6% kepada 3.2%. Selain itu, tekanan inflasi yang lebih tinggi berikutan harga komoditi dan makanan yang dijangka meningkat, serta gangguan rantaian bekalan global yang berlanjutan turut menjadi faktor yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi global.
Buat masa ini, Kementerian Kewangan sedang giat menyediakan Bajet 2023 melalui konsultasi dan sesi libat urus bersama pelbagai sektor-sektor ekonomi dan negeri-negeri bagi memastikan belanjawan yang dibentangkan memanfaatkan seluruh Keluarga Malaysia. Antara tumpuan Bajet 2023 termasuklah pengurusan subsidi yang lebih mampan, usaha pembaharuan ekonomi, serta memperkukuhkan daya tahan negara terhadap sebarang kejutan pada masa depan. Inisiatif berkaitan kelestarian turut diambil kira dengan lebih meluas dalam Bajet 2023 susulan cabaran ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim yang serius.
Seiring dengan momentum pemulihan ekonomi pasca COVID-19, Bajet 2023 juga akan terus mengutamakan agenda kesejahteraan rakyat, khususnya dalam aspek peningkatan pendapatan dan perlindungan sosial. Usaha pembaharuan ekonomi juga akan diutamakan bagi memastikan pertumbuhan mampan serta peningkatan daya saing perniagaan dan rantaian nilai.
Melangkah ke hadapan, Kerajaan dan agensi-agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan pelbagai risiko ekonomi, dan memastikan keberkesanan keputusan dasar dalam mengurus kejutan luaran yang boleh memberi kesan ke atas kesejahteraan rakyat dan perniagaan.
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
12 Ogos 2022
LAMPIRAN
