Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

KDNK Suku Keempat 2020: Daya Tahan Ekonomi Disokong Penggubalan Dasar Berhemat

KDNK Suku Keempat 2020: Daya Tahan Ekonomi Disokong Penggubalan Dasar Berhemat
Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) telah mengumumkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah menguncup sebanyak 3.4% setahun bagi suku keempat 2020 (S4 2020), berbanding penurunan 2.6% pada suku ketiga (S3). Penurunan ini dikaitkan dengan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada bulan Oktober 2020 bagi mengekang penularan wabak COVID-19, di mana ia telah melibatkan hampir semua negeri kecuali Sarawak.

Berdasarkan prestasi bulanan KDNK, penyusutan yang paling ketara adalah pada bulan Oktober 2020 iaitu sebanyak 4.7%, berbanding 1.6% pada bulan September. Sebagai perbandingan, pada S4 2020, ekonomi Filipina menguncup sebanyak 8.3% manakala Singapura menguncup 3.8%. Bagi negara maju, keseluruhan Kawasan Euro telah mengalami kadar penurunan sebanyak 5.1%.

Secara keseluruhan, KDNK bagi 2020 telah mengalami penguncupan sebanyak 5.6%. Penguncupan ini adalah lebih baik berbanding unjuran awal oleh organisasi antarabangsa seperti Dana Kewangan Antarabangsa (-5.8%), Bank Dunia (-5.8%) dan Bank Pembangunan Asia (-6.0%). Tambahan pula, pelbagai tanda-tanda pemulihan ekonomi telah dapat dilihat pada tahun 2020 iaitu:

  1. Penurunan KDNK 1.7% pada bulan Disember adalah lebih baik berbanding 4.0% pada bulan November 2020. Ini membuktikan keberkesanan inisiatif segera Kerajaan di bawah pakej rangsangan ekonomi KITA PRIHATIN, yang telah disalurkan pada S4 2020 seperti Geran Khas PRIHATIN (GKP) 2.0, Program Subsidi Upah (PSU) 2.0 dan Bantuan PRIHATIN Nasional (BPN) 2.0.
  2. Kadar pengangguran yang lebih rendah berbanding kadar pengangguran tertinggi 5.3% pada bulan bulan Mei 2020, iaitu 4.8% bagi S4 2020, dan 4.8% bagi bulan November dan Disember 2020. Walaupun pelaksanaan PKPB pada bulan Disember telah menjejaskan aktiviti pasaran buruh, PSU 2.0 dan BPN 2.0 juga telah membantu meredakan kekangan kewangan rakyat dan perniagaan.
  3. Dari segi penawaran, sepanjang S4 2020, sektor pembuatan telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.0% setahun (S3 2020: 3.3%). Ini telah mengimbangi penguncupan sektor-sektor lain, dan disokong oleh persekitaran perdagangan luar yang lebih baik di mana nilai eksport barangan telah meningkat sebanyak 8.6% pada tempoh yang sama (S3 2020: 6.1%).
  4. Malaysia kekal berdaya saing sebagai pengeksport utama di rantau ini. Pada S4 2020, jumlah perdagangan berkembang kepada RM483 bilion (S3 2020: RM460.9 bilion). Selain itu, negara masih mengekalkan lebihan dagangan untuk 23 tahun berturut-turut, yang telah merekodkan jumlah sebanyak RM59.9 bilion (S3 2020: RM60.3 bilion). Jumlah pelaburan langsung asing (FDI) juga telah merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM6.1 bilion untuk tempoh yang sama (S3 2020: –RM0.8 bilion).
  5. Pembiayaan bersih terus berkembang sebanyak 4.4% sepanjang S4 2020 (S3 2020: 4.6%) melalui peningkatan penerbitan bon korporat. Selain itu, keperluan modal kerja serta pembelian kereta penumpang dan tempat kediaman terus meningkatkan pengeluaran pinjaman kepada rakyat dan juga perniagaan, mencerminkan pemulihan permintaan yang baik.

Langkah segera Kerajaan dalam melaksanakan inisiatif di bawah empat pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM305 bilion atau 20% dari KDNK dianggar telah menyumbang sebanyak empat mata peratusan kepada pertumbuhan ekonomi bagi 2020. Kawalan disiplin fiskal negara, prospek pertumbuhan jangka masa sederhana yang mampan, serta keberkesanan langkah Kerajaan membendung penularan wabak COVID-19 telah diiktiraf oleh agensi penarafan kredit antarabangsa, Moody's, yang telah mengekalkan penarafan Malaysia pada tahap A3 dengan unjuran stabil pada bulan Januari tahun ini. Secara keseluruhannya, kedudukan kewangan dan prospek Malaysia kekal teguh di sebalik kitaran penilaian penarafan kredit yang mencabar di peringkat global sepanjang 2020.

MELANGKAH KE HADAPAN

Moody’s juga menjangkakan bahawa penularan wabak COVID-19 tidak akan menyebabkan kesan yang berpanjangan terhadap struktur ekonomi negara. PKP 2.0 yang telah berkuatkuasa di hampir seluruh negara sejak 13 Januari yang lalu dan dilanjutkan hingga 18 Februari tentunya akan memberi kesan kepada pertumbuhan KDNK pada suku pertama 2021. Walau bagaimanapun, kadar kerugian yang dianggar berjumlah RM700 juta sehari tidak seteruk kesan PKP 1.0 iaitu sebanyak RM2.4 bilion sehari. Selain itu, inisiatif Belanjawan 2021 yang sudah mula dilaksanakan dan langkah segera Kerajaan melalui Pakej Bantuan PERMAI bernilai RM15 bilion juga dijangka akan mengurangkan impak PKP 2.0. Kerajaan juga yakin bahawa pelaksanaan Program Immunisasi COVID19 Kebangsaan yang sistematik dan berkesan akan mendorong pembukaan pelbagai sektor ekonomi, pemulihan sentimen pengguna, dan seterusnya pertumbuhan serta daya tahan ekonomi Malaysia.

Sehubungan itu, beberapa keutamaan bagi usaha pemulihan ekonomi telah dikenalpasti dan diterapkan ke dalam perancangan Belanjawan 2022. Usaha-usaha ini termasuklah:

  1. Meneruskan projek-projek berskala besar seperti ECRL, MRT2 dan LRT3 serta projek-projek lain yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi;
  2. Mengukuhkan hasil pendapatan negara, bermula dengan mengawalselia ekonomi bayangan, yang dianggarkan adalah 18% daripada KDNK, atau sekitar RM300 bilion pada 2019. Kawalselia ke atas ekonomi bayangan juga boleh memastikan pekerja sektor tidak formal turut dilindungi;
  3. Melaksanakan Strategi Hasil Jangka Sederhana termasuk mempelbagaikan asas ekonomi, menambahbaik kerangka percukaian, serta menggalakkan nilai tambah di dalam sektor komoditi seperti getah dan minyak sawit;
  4. Menganalisa penjanaan hasil sektor-sektor ekonomi negara secara holistik melalui lensa ESG (Environmental, Social & Governance) yang mengambilkira aspirasi serta cabaran-cabaran mengekalkan kemampanan alam sekitar, hasrat hidup rakyat dan pentadbiran berhemah dalam sektor awam dan swasta bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 mampu dicapai;
  5. Menambahbaik dasar modal insan bagi memastikan bakat kita bersedia untuk masa depan, sebagai persiapan untuk cabaran era digital. Sehubungan itu, Pewujudan Majlis Pekerjaan Negara juga adalah usaha holistik untuk menangani bukan sahaja cabaran pengangguran, tetapi juga pembangunan dan peningkatan kemahiran melalui pelbagai aspek, termasuk pengajian vokasional (TVET); dan
  6. Membina kapasiti di sepanjang rantaian bekalan sektor-sektor tertentu seperti teknologi pertanian (agritech), pendidikan (edutech), dan kecerdasan buatan (AI), dan memperkasakan budaya keusahawanan untuk melonjakkan Malaysia ke tahap negara berpendapatan tinggi.

Kerajaan juga telah melandaskan sebahagian dari matlamat-matlamat Belanjawan 2021 di atas Sustainable Development Goals (SDG) bagi menyediakan rangka tindakan holistik ke arah pembangunan sosio-ekonomi yang inklusif, serta pengurusan alam sekitar yang lebih lestari. Semua usaha ini akan diselaraskan bagi mencapai pertumbuhan KDNK yang lebih mantap dan mampan melalui pelan ekonomi jangka sederhana yang strategik, tertumpu, tepat dan berdasarkan keberhasilan.

 


 

YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan
11 Februari 2021

 


 

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility