Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Keluaran Dalam Negara Kasar Suku Pertama 2020

Keluaran Dalam Negara Kasar Suku Pertama 2020

Ekonomi Malaysia berkembang 0.7% pada suku pertama 2020 (S1 2020), dalam persekitaran ekonomi dan perdagangan global yang semakin mencabar terutamanya disebabkan pandemik COVID-19.

Dari segi permintaan (demand), pertumbuhan ekonomi disokong oleh perbelanjaan kerajaan dan isi rumah. Dari sudut penawaran (supply), pertumbuhan KDNK didorong oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan. Walau bagaimanapun, sektor perlombongan, pembinaan dan pertanian mencatat pertumbuhan negatif.

Akaun semasa negara mencatat lebihan RM9.5 bilion, dan ini merupakan suku lebihan yang ke-89 sejak 1998. Keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia agak stabil, dengan aliran pelaburan asing berjumlah RM6.4 bilion yang disalurkan terutamanya dalam sektor pembuatan dan aktiviti kewangan termasuk insurans dan takaful pada S1 2020.

Sektor perkhidmatan (services) berkembang sederhana sebanyak 3.1% dengan semua subsektor mencatat pertumbuhan positif kecuali subsektor pengangkutan dan penyimpanan. Antara subsektor yang meningkat kukuh termasuklah subsektor maklumat dan komunikasi, iaitu sebanyak 6.7%, dan subsektor kewangan dan insurans yang berkembang sebanyak 4.9%

Sektor yang juga berkembang sederhana ialah sektor pembuatan (1.5%) yang sebahagian besarnya disumbang oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik, serta elektrik, elektronik dan optikal.

Seperti yang dijangkakan, sektor-sektor yang merosot termasuklah pembinaan (-7.9%) dan pertanian (-8.7%). Data yang memberangsangkan adalah penggunaan swasta (private consumption) yang berkembang sebanyak 6.7%, didorong oleh pasaran buruh yang stabil serta peningkatan kadar upah dan gaji. Penggunaan awam (public consumption) pula berkembang sebanyak 5.0%, disokong oleh perbelanjaan bekalan dan perkhidmatan.

Jumlah dagangan (total trade) meningkat sebanyak 1.2% dengan jumlah RM440.4 bilion pada S1 2020. Eksport kasar (gross exports) mencatat RM238.7 bilion didorong oleh peningkatan eksport barangan pembuatan dan pertanian. Import kasar pula adalah di tahap RM201.7 bilion, berdasarkan peningkatan import barangan perantara dan barangan penggunaan.

Kadar pengangguran adalah ditahap 3.5% manakala kadar inflasi berkembang sebanyak 0.9% pada S1 2020.

Persekitaran global menghadapi cabaran dari segi pertumbuhan ekonomi, penguncupan permintaan serta gangguan rantaian bekalan. Malaysia tidak terkecuali dari terkesan situasi global ini dan usaha pemulihan ekonomi akan mengambil masa. Kerajaan telahpun melaksanakan strateginya yang terdiri daripada 6 pendekatan (“6R”) iaitu: 

  1. Ketegasan (resolve) dalam mengawal Covid-19 melalui pelaksanaan PKP;

  2. Membina ketahanan atau (resilience) melalui pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN bernilai RM260 bilion demi kelangsungan rakyat dan ekonomi;

  3. Menjana semula (restart) ekonomi secara teratur dan terkawal;

  4. Melaksanakan strategi pemulihan ekonomi (recovery) melalui pelan jangka masa pendek dan sederhana;

  5. Memperkasa (revitalize) ekonomi secara menyeluruh; dan

  6. Menyusun semula (reform) struktur ekonomi untuk kita melangkah ke era norma baharu (new normal).

Negara kini berada di tahap ketiga. Pakej Rangsangan ekonomi PRIHATIN bernilai RM260 bilion serta dasar monetari yang akomodatif telah membantu melegakan kekangan ekonomi yang dialami sejak beberapa bulan yang lalu. Perkembangan ekonomi seterusnya perlu diimbangi dengan kepentingan kesihatan awam dan penjanaan semula ekonomi yang teratur dan selamat.

Sehubungan itu, dalam masa terdekat Kerajaan akan melancarkan pelan pemulihan ekonomi jangka pendek dan juga jangka sederhana untuk menjana semula pertumbuhan ekonomi negara. Perancangan tersebut termasuk:

  1. Garis panduan kesihatan dan kaedah operasi selamat di dalam norma baharu;

  2. Pembangunan kapasiti, pengambilan pekerja dan penjanaan pekerjaan; Meningkatkan perbelanjaan pengguna, terutamanya melalui saluran digital dengan cara operasi baru;

  3. Menyokong penyusunan semula, pemulihan dan pertumbuhan PKS, terutamanya melalui teknologi digital;

  4. Membangunkan ketahanan dan peluang pertumbuhan bagi syarikat-syarikat bersaiz sederhana dan besar; dan

  5. Meningkatkan keyakinan pelabur dan menjana pertumbuhan ekonomi jangka pendek.

Dengan langkah-langkah yang akan dimaklumkan pada masa terdekat ini, Kerajaan yakin Malaysia mampu berada dalam persiapan yang kukuh untuk menghadapi keadaan ekonomi global yang semakin mencabar ini.

Walaupun ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan yang lebih perlahan pada tahun 2020, sebaliknya pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2021 adalah diunjurkan lebih baik berdasarkan langkah-langkah pemulihan ekonomi dalam negeri dan ekonomi global di masa akan datang.


YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
Putrajaya
13 Mei 2020

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility