Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Kenyataan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Hutang

Kenyataan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Hutang

Pada 2 Disember 2019, Jawatankuasa Pengurusan Hutang telah bermesyuarat dan berbincang mengenai pelan tindakan untuk mengurus hutang dan liabiliti Kerajaan. Jawatankuasa menyatakan keperluan untuk mengawal obligasi jaminan kerajaan (government guarantees atau GG) dan usaha sama awam swasta bagi mengelakkan pemindahan beban hutang antara-generasi secara berlebihan, di mana generasi mendatang akan bertanggungjawab menanggung beban hutang yang sedia ada.

Jawatankuasa telah mengesahkan Program Pinjaman Kerajaan Persekutuan 2020, termasuk opsyen untuk menerbitkan satu lagi bon Samurai. Tambahan lagi, Jawatankuasa telah meneliti jaminan kerajaan yang sedia ada dan baharu, serta amalan terbaik yang terkini dalam menilai dan memantau liabiliti luar jangka melalui penggunaan teknologi kewangan (fintech).

Kerajaan komited dalam menjalankan konsolidasi hutang dan liabiliti. Dalam jangka masa sederhana, Kerajaan menyasarkan untuk menurunkan nisbah hutang dan liabiliti kepada 65% berbanding KDNK pada akhir-2025, daripada 77.1% pada akhir-Jun 2019. Hutang dan liabiliti tersebut terdiri daripada hutang langsung, jaminan kerajaan yang ditanggung dan dibiayai oleh Kerajaan, hutang 1MDB, serta pelbagai liabiliti lain, iaitu obligasi usaha sama awam swasta (public-private partnership atau PPP), Pembinaan BLT Sdn Bhd (PBLT) dan private finance initiative (PFI). 

Seperti yang terkandung dalam laporan Tinjauan Fiskal Dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020, nisbah hutang dan liabiliti Kerajaan telah menurun daripada 79.3% berbanding KDNK pada akhir-2017, kepada 77.1% pada akhir-Jun 2019 (Jadual 1).

Jadual 1: Nisbah hutang dan liabiliti berbanding KDNK

Komponen Akhir-2017 Akhir-Jun 2019
Hutang langsung 50.1% 52.6%
Jaminan kerajaan yang ditanggung dan dibiaai oleh Kerajaan 7.4% 10.4%
1MDB 2.8% 2.1%
Liabiliti lain ( PPP, PBLT, PFI) 19.0% 12.0%
Total 79.3% 77.1%

Hutang luar negeri dan hutang langsung

Kementerian Kewangan ingin mengambil kesempatan ini untuk memperbetulkan salah faham mengenai hutang luar negeri yang timbul di kalangan orang awam. Hutang luar negeri adalah berbeza daripada hutang langsung Kerajaan. Hutang luar negeri terdiri daripada pinjaman luar pesisir, deposit bukan pemastautin, serta hutang individu, syarikat dan kerajaan yang dipegang oleh orang bukan pemastautin. Hutang langsung kerajaan pula adalah hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan secara langsung.

Seperti yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia, jumlah hutang luar negeri Malaysia adalah sebanyak RM931.1 bilion pada akhir-Jun 2019. Daripada nilai tersebut, hanya RM190.0 bilion merupakan hutang langsung Kerajaan.

Tambahan lagi sehingga akhir-Jun 2019, hutang langsung telah meningkat sebanyak RM94.1 bilion sejak Pakatan Harapan menerima mandat untuk menjadi Kerajaan (Jadual 2). Jumlah RM94.1 bilion tersebut telah membiayai perbelanjaan pembangunan, defisit fiskal serta pembayaran balik hutang (termasuk hutang 1MDB).

Jadual 2: Perubahan hutang langsung dari S1 2018 sehingga S2 2019

Tempoh Nilai hutang langsung
Suku pertama 2018 RM705.0 bilion
Suku kedua 2019 RM799.1 bilion
Perubahan RM94.1 bilion

Jumlah RM94.1 bilion ini jauh berbeza berbanding dakwaan yang dibuat dan diulangulang oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyatakan bahawa hutang langsung telah meningkat sebanyak RM245 bilion.

Akhir sekali, hutang 1MDB termasuk faedah adalah sebanyak RM50.5 bilion dan ia hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada tahun 2039. Sebanyak RM13.9 bilion akan terpaksa dibelanjakan oleh Kerajaan untuk membiayai hutang-hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) dari 2017 sehingga 2020. Jumlah pembayaran RM13.9 bilion untuk 1MDB dan SRC yang dibuat oleh Kerajaan langsung merupakan kerugian yang ditanggung oleh rakyat Malaysia yang sepatutnya dibelanjakan demi kebajikan negara.


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Kementerian Kewangan
Putrajaya

6 Disember 2019

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility