Di bawah Kerajaan Persekutuan sekarang, kos keseluruhan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (LPBS) telah dikurangkan sebanyak RM3.1 bilion daripada kos asal dengan kaedah Project Delivery Partner (PDP) sebanyak RM21.9 bilion (yang merangkumi kos pembinaan RM16.5 bilion) kepada kaedah konvensional sebanyak RM18.8 bilion (merangkumi kos pembinaan RM16.1 bilion). Sesetengah pihak telah mempersoalkan bagaimana kos penjimatan adalah RM3.1 bilion sedangkan kos asal bukanlah RM21.9 bilion tetapi RM16.5 bilion.
Ini adalah kerana mereka sengaja mengelirukan dengan menyatakan kos pembinaan sebanyak RM16.5 bilion sebagai kos keseluruhan projek LPBS tanpa mengambil kira kos-kos lain seperti yang dinyatakan dalam Jadual 1 di bawah. Anggaran kos keseluruhan projek LPBS dengan kaedah konvensional sebanyak RM18.8 bilion telahpun dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada tahun lepas.
Jadual1: Perbezaan kos sebelum penamatan perjanjian PDP dan selepas penamatan perjanjian PDP
| Perkara | Kos (RM Bilion) | |
|---|---|---|
| PDP | Konvensional | |
| Kos Pembinaan | 16.488 | 16.117 |
| Kos-kos lain termasuk: | ||
| -Imbuhan Balik PDP dan Perunding | 5.369 | 2.729 |
| -Yuran PDP dan Perunding | ||
| -Kontigensi | ||
| -Pengambilalihan Balik Tanah | ||
| -Independent Consulting Engineer | ||
| JUMLAH | 21.857 | 18.846 |
Di bawah model PDP, kos keseluruhan untuk melaksanakan projek LPBS bukan sahaja melibatkan kos pembinaan, tetapi juga melibatkan bayaran kepada syarikat PDP termasuk bayaran imbuhan balik (reimbursable) dan juga bayaran yuran PDP (5.5% daripada kos pembinaan).
Harus ditegaskan bahawa kos pembinaan projek LPBS yang diluluskan oleh Kerajaan terdahulu sebanyak RM16.5 bilion bukanlah kos keseluruhan projek yang perlu ditanggung oleh Kerajaan. Kos-kos lain yang tidak dinyatakan adalah termasuk kos imbuhan balik PDP, kos yuran PDP, kos kontingensi, kos pengambilan balik tanah serta kos Independent Consulting Engineer yang meningkatkan jumlah keseluruhan kos asal projek tersebut kepada RM21.9 bilion.
Sayangi Malaysiaku!
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
11 Februari 2020