Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) ingin menjelaskan bahawa kutipan cukai langsung Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi tahun 2018 yang disiarkan pada 20 Januari 2019 adalah berkaitan dengan pengenaan cukai bagi pendapatan yang diterima dalam tahun 2018 selaras dengan pelaksanaan sistem taksiran tahun semasa.
Seperti yang dihuraikan sebelum ini, kutipan cukai langsung berjumlah RM137.035 Bilion dalam tahun 2018 adalah berpunca daripada pengenaan cukai terhadap komponen syarikat, individu, petroleum, cukai keuntungan harta tanah, duti setem, cukai pegangan dan cukai daripada aktiviti perniagaan Labuan.
Oleh itu, peningkatan kutipan sebanyak 11.13% atau RM13.72 Bilion pada tahun lalu merupakan pencapaian daripada kutipan pada tahun 2018 berdasarkan taksiran dan perkembangan ekonomi yang berlaku pada tahun yang sama. Ia bukanlah berdasarkan taksiran ekonomi pada tahun 2017 seperti dakwaan sesetengah pihak, sebaliknya ia mencerminkan pengukuhan dan perkembangan ekonomi dan juga pengenalan tadbir urus Kerajaan yang bersih berasaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti, dan Telus (CAT). Ini disokong lagi dengan prestasi kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang melebihi jangkaan sebanyak 34% pada tahun 2018, tahun pertama cukai ini diperkenalkan semula.
Sistem percukaian negara, khususnya pengenaan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (berkaitan komponen syarikat, koperasi dan individu) telah lama bertukar kepada sistem taksiran tahun semasa dan bukan lagi sistem taksiran tahun sebelumnya. Pertukaran kepada sistem taksiran tahun semasa bagi Akta Cukai Pendapatan 1967 telah mula berkuat kuasa sejak tahun taksiran 2000. Selanjutnya, pertukaran kepada sistem taksiran tahun semasa bagi cukai pendapatan petroleum yang dikenakan di bawah Akta Cukai Pendapatan (Petroleum) 1967 telah mula berkuat kuasa daripada tahun taksiran 2010.
Berdasarkan sistem taksiran tahun semasa, cukai yang dibayar dalam suatu tahun, contohnya oleh syarikat bagi tahun 2018, adalah berdasarkan kepada anggaran cukai yang kena dibayar oleh syarikat untuk pendapatan yang diterima dalam tahun 2018. Anggaran cukai yang kena dibayar bagi tahun 2018 perlu dikemukakan kepada LHDNM, 30 hari sebelum bermulanya tahun tersebut dan ansuran hendaklah dibayar sepanjang tahun 2018 berdasarkan kepada anggaran cukai yang telah dibuat.
Kutipan cukai keuntungan harta tanah dan duti setem juga tidak berkaitan dengan situasi percukaian tahun sebelumnya. Ini adalah kerana cukai atau duti bagi pelupusan sesuatu aset dikenakan dalam tahun pelupusan itu dilakukan. Begitu juga duti setem terhadap instrumen atau perjanjian, duti akan dikenakan dalam tahun instrumen atau perjanjian itu dilaksanakan atau ditandatangani.
Prestasi Kutipan SST bagi tahun 2018
Prestasi kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi tahun 2018 oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula ialah RM5.4 Bilion. Kutipan dalam tahun 2018 ini telah meningkat sebanyak 34% dari sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM4 Bilion semasa SST dilaksanakan pada 1 September 2018.
Peningkatan ini adalah kerana usaha-usaha yang dilakukan oleh Kerajaan khususnya dalam memberi kefahaman kepada peniaga melalui program engagement yang diadakan di seluruh negara. Sebanyak 18 sesi engagement telah diadakan dan kesemua sesi ini telah dihadiri oleh Menteri Kewangan.
JKDM juga turut mengambil inisiatif mengadakan program handholding bersama peniaga-peniaga bagi memastikan mereka benar-benar faham dan pada tahap pematuhan yang lebih baik.
Selaras dengan penjelasan dua perkara ini, dakwaan bahawa kutipan cukai 2018 tidak mencerminkan situasi semasa ekonomi atau tidak disumbangkan oleh pendekatan berkesan yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan sebaik sahaja mengambil alih Kerajaan Persekutuan adalah tidak tepat malahan bertentangan dengan sistem percukaian yang telah diperuntukkan di bawah undang- undang negara. Prestasi kutipan SST yang melebihi jangkaan juga memberikan gambaran perkembangan ekonomi yang telah berlaku pada tahun 2018.
MOF akan terus bersikap telus dan jujur dalam membuat kenyataan berkenaan keadaan ekonomi negara berpandukan fakta dan angka yang tepat.
Sayangi Malaysiaku!
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
21 Januari 2019