Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Lanjutan Moratorium & Bantuan Bank Bersasar

Lanjutan Moratorium & Bantuan Bank Bersasar

Kementerian Kewangan Malaysia mengalu-alukan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar. Kementerian berharap bahawa keputusan ini akan memberi kelegaan kepada peminjam-peminjam, terutamanya bagi mereka yang kehilangan punca rezeki atau mengalami pengurangan pendapatan, baik individu mahupun perniagaan.

Dalam menangani isu ancaman COVID-19, Kerajaan telah melaksanakan pakej-pakej rangsangan ekonomi seperti PRIHATIN dan PRIHATIN PKS Tambahan yang bernilai RM250 bilion untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi. Malaysia merupakan satu-satunya negara yang melaksanakan moratorium secara am dan secara automatik selama 6 bulan mulai April 2020 untuk manfaat individu dan PKS ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dalam usaha memerangi penularan COVID-19.

Selain moratorium dari sektor perbankan yang bernilai RM100 bilion, Kerajaan juga memperkenalkan pelbagai langkah lain untuk membantu individu seperti Bantuan Prihatin Nasional, yang sehingga kini melibatkan peruntukan sebanyak RM11.16 bilion dan telah memanfaatkan 10.416 juta rakyat; serta Program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerja yang bernilai lebih RM17 bilion untuk membantu perniagaan mengekalkan pekerja masing-masing.

Sehubungan itu, pelbagai data ekonomi telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan hasil dari langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan, pembukaan ekonomi secara berperingkat pada bulan Mei 2020 dan pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) mulai bulan Jun 2020. Contohnya:

  1. Eksport negara berkembang 8.8% pada bulan Jun 2020, kepada RM82.9 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM20.9 bilion, nilai tertinggi yang pernah direkodkan. Ini satu perkembangan positif berbanding data bulan Mei 2020, di mana perdagangan Malaysia menguncup sebanyak 27.8% tahun ke tahun, dan prestasi eksport menurun 25.5% bulan ke bulan.
  2. Indeks Pengeluaran Perindustrian (Industrial Production Index) meningkat 18.2% pada bulan Mei 2020 berbanding April 2020. Sektor pembuatan melonjak 25.9% manakala sektor elektrik meningkat 13.7% pada tempoh yang sama. Jualan sektor pembuatan adalah RM90.2 bilion bagi bulan Mei 2020, satu lonjakan 19.1% berbanding bulan April 2020.
  3. Jumlah peminjam individu yang meneruskan bayaran ansuran pinjaman dan tidak mengambil kemudahan moratorium (opt-out) meningkat daripada 331,000 peminjam pada bulan April, kepada 601,000 peminjam pada bulan Julai 2020, manakala jumlah peminjam PKS yang memilih untuk tidak mengambil kemudahan ini telah meningkat daripada 5,000 kepada 13,000 peminjam pada tempoh yang sama.

Walau bagaimanapun, Kerajaan sedar bahawa usaha pemulihan dan pembangunan ekonomi masih di tahap awal. Masih ada rakyat dan perniagaan yang memerlukan sokongan tambahan untuk bangun semula. Dalam keadaan yang tidak pernah kita alami sebelum ini, Kerajaan juga ingin mengelakkan satu keadaan di mana peminjam menghadapi kekangan kewangan yang berterusan apabila berakhirnya moratorium secara am pada 30 September 2020. Bagi mereka yang mampu, bayaran balik pinjaman perlu diteruskan mulai 1 Oktober 2020 bagi memastikan kitaran modal yang mampan untuk memulih dan menjana semula pertumbuhan ekonomi negara.

Sehubungan itu, Kementerian mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri untuk melaksanakan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar bagi peminjam yang benar-benar memerlukannya. Kerjasama berterusan antara Kerajaan, Bank Negara Malaysia dan sektor perbankan ini diharap akan menjamin kesejahteraan peminjam dan meneruskan pemulihan ekonomi yang masih sedang berputik.

Seperti yang diumumkan Perdana Menteri, bantuan-bantuan ini adalah seperti berikut:

  1. Bagi individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, moratorium lanjutan bersasar ini akan diberi untuk tempoh 3 bulan, dengan syarat peminjam membuat permohonan kepada institusi kewangan. Selepas 3 bulan, institusi kewangan boleh melanjutkan tempoh sekiranya individu masih tidak berjaya mendapat pekerjaan.
  2. Bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan, bantuan bersasar adalah berbentuk bayaran ansuran yang dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman. Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan dan lanjutan boleh diberikan oleh institusi kewangan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu yang memerlukannya.
  3. Di samping itu, pertimbangan akan diberikan kepada peminjam-peminjam lain, termasuk individu atau PKS, peniaga, penjaja atau mereka yang bekerja sendiri yang turut terkesan COVID-19. Antara kelegaan yang ditawarkan termasuk membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan, memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan atau pelepasan lain yang sesuai.
  4. Bagi peminjam sewa beli yang memerlukan bantuan, institusi kewangan akan menawarkan penjadualan ansuran yang bersesuaian tertakluk kepada Akta Sewa Beli.

Secara keseluruhannya, apa yang lebih penting adalah komitmen dari sektor perbankan untuk mempertimbangkan penyelesaian yang wajar bagi membantu setiap peminjam menstabilkan kedudukan kewangan masing-masing, serta kerjasama dari rakyat dan perniagaan yang mampu untuk terus membayar balik pinjaman masing-masing mulai 1 Oktober 2020.

Langkah pertama ialah untuk peminjam menghubungi institusi kewangan atau bank masing-masing bagi mendapatkan maklumat yang tepat. Permohonan boleh dibuat mulai 7 Ogos 2020. Kerajaan berharap agar peminjam dapat memanfaatkan langkah-langkah menerusi Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar ini demi kesejahteraan rakyat, perkembangan sektor perniagaan dan PKS, serta pemulihan ekonomi negara kita.


YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan Malaysia
Putrajaya
29 Julai 2020

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility