Kementerian Kewangan (MOF) mengambil maklum bahawa Bajet 2023 masih tertakluk kepada kelulusan Parlimen yang bakal bersidang semula selepas Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15).
Namun, buat masa ini, MOF berpendapat bahawa adalah penting untuk memberi pencerahan mengenai beberapa perkara yang kurang jelas atau telah disalah tafsir yang mungkin disebabkan oleh kekangan masa untuk memperincikan segala butiran mengenai lebih 200 inisiatif semasa pembentangan bajet negara tempoh hari:
1. Pembentangan Bajet 2023 Penting Sebagai Rujukan Dasar oleh Sektor Perniagaan dan Pelaburan, serta Perancangan oleh Rakyat dan PKS
Bajet 2023 perlu dibentangkan bagi perancangan kewangan yang teratur, iaitu anggaran pendapatan, peruntukan dan perbelanjaan untuk tahun 2023. Usaha menyiapkan Bajet 2023 mengambil masa enam bulan dengan mengadakan lebih 200 sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dan sektor-sektor terpilih, serta mengkaji lebih 250 memorandum dan 12,000 cadangan. Justeru, pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober tidak sia-sia kerana walaupun ianya akan dibentangkan semula kepada Parlimen hanya selepas PRU-15, Kerajaan baharu boleh bersandar kepada proses libat urus dan penyiapan bajet yang komprehensif, terangkum dan menyeluruh dalam merangka langkah seterusnya bagi persiapan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk manfaat rakyat, perniagaan dan ekonomi.
Dari segi rujukan pengalaman lalu (precedent), pada Oktober 1999, Bajet 2000 telah dibentangkan dan Parlimen telah dibubarkan sebelum ia diluluskan. Walaupun Bajet P2000 terpaksa dibentangkan semula pada Februari 2000, bajet yang sama telah dibentang dan diluluskan. Sehubungan itu, MOF tetap komited untuk membentangkan semula dan melaksanakan Bajet 2023.
Bajet 2023 juga penting untuk MOF berkongsi dengan rakyat tentang pelbagai langkah yang telah dirancang oleh Kerajaan untuk membantu mereka menghadapi cabaran jangka pendek, seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan inisiatif pengurangan cukai, serta rancangan pembangunan jangka panjang untuk menambahbaik, antara lainnya, infrastruktur asas dalam dan luar bandar, pengangkutan awam, pendidikan dan kesihatan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat. Dengan pembentangan Bajet 2023, Kerajaan boleh terus melaksanakannya pada Januari 2023 sebaik sahaja Kerajaan dibentuk selepas PRU-15.
Selain itu, pembentangan Bajet 2023 juga penting sebagai rujukan dasar kepada sektor perniagaan dan pelaburan untuk merancang langkah seterusnya berdasarkan kandungan Bajet 2023, terutamanya mengenai prospek ekonomi negara. Contohnya, langkah-langkah program Semarak Niaga bernilai RM45 bilion yang menyokong perkembangan perniagaan, merangkumi kemudahan pembiayaan, pelbagai insentif cukai untuk menggalakkan industri strategik, serta pengurusan kewangan dan kedudukan fiskal Kerajaan adalah penting sebagai panduan untuk membolehkan sektor perniagaan dan pelaburan merencana pelan perniagaan masing-masing.
Seterusnya, unjuran ekonomi dan pertumbuhan KDNK diterbitkan oleh Kerajaan hanya dua kali setahun, iaitu pada bulan Mac dan bulan Oktober setiap tahun, iaitu tempoh yang selaras dengan bulan pembentangan bajet tahun akan datang. Jika Bajet 2023 tidak dibentangkan, ini akan meningkatkan sentimen ketidakpastian yang tentunya akan memberi impak negatif kepada keyakinan pelabur.
2. Peruntukan Pembangunan Jelas untuk Manfaat Rakyat dan PKS
Peruntukan pembangunan sebanyak RM95 bilion adalah untuk pelbagai projek pembangunan infrastruktur dan juga kesalinghubungan negara yang bakal memanfaatkan berjuta-juta rakyat, pelbagai PKS di dalam sistem vendor kontraktor utama, serta pelbagai sektor ekonomi dari pelbagai lapisan Keluarga Malaysia, bukan semata-mata untuk ‘kontraktor atau golongan kaya’ seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Antara penerima manfaat dan unjuran limpahan ekonomi dari pelbagai projek pembangunan tersebut adalah seperti berikut:
| Projek | Jumlah (RM) | Contoh Jumlah Pekerjaan Yang Bakal Dicipta/ Limpahan Ekonomi/ Penerima Manfaat |
|---|---|---|
| Projek infrastruktur utama: Lebuh Raya Pan Borneo, Landasan Kereta Api Berkembar Gemas-Johor Bahru, ECRL, RTS Link dan Central Spine Road (Sektor pengangkutan) | 16.5 bilion | RTS bakal mencipta 1,500 peluang pekerjaan, dan bakal dimanfaatkan oleh 40,000 penumpang sehari ECRL dianggarkan akan mencipta lebih 88,000 peluang pekerjaan. Setiap RM1 yang dibelanjakan bakal menjana impak ekonomi yang dianggarkan sebanyak RM2.80 atau 280% berbanding pelaburan. Ianya juga akan memanfaatkan hampir 39% rakyat Malaysia yang tinggal di Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor. |
| Sabah dan Sarawak bagi projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan. | 11.7 bilion | 5.86 juta rakyat Sabah dan Sarawak Projek di Sabah dan Sarawak ditumpukan kepada meningkatkan kualiti hidup terutamanya rakyat luar bandar termasuk membaik pulih sekolah daif dan jalan luar bandar |
| Pembaikan dan penyelenggaraan aset termasuk jalan raya Persekutuan serta bangunan Kerajaan | 11.4 bilion |
32 juta rakyat Malaysia Membantu rakyat dalam memastikan kemudahan awam dalam keadaan baik dan selamat untuk menyediakan perkhidmatan awam |
| MRT3 (rangkaian rel Kuala Lumpur dengan jajaran sepanjang 50.8 kilometer) | 3.3 bilion | Penciptaan 600,000 pekerjaan dan MRT3 melengkapkan rangkaian rel Kuala Lumpur untuk kemudahan rakyat yang menggunakan pengangkutan awam |
| Kemudahan infrastruktur rakyat luar bandar dan pedalaman | 2.55 bilion |
1. 110,000 penduduk antaranya dari Kampung Orang Asli 2. Bekalan Elektrik Luar Bandar untuk 2,100 buah rumah/ 6,3001 penduduk 3. Bekalan Air Luar Bandar dan Bekalan Air Alternatif bagi 4,800 buah rumah/ 14,4002 penduduk di kawasan pedalaman 4. Lampu Jalan Kampung melalui pemasangan baharu 6,800 unit lampu dan kos penyelenggaraan 5. 85 jambatan baharu untuk menggantikan jambatan yang uzur serta tidak selamat |
| Lima Wilayah Koridor utama negara | 1.4 bilion | Antara projek yang akan dilaksanakan termasuk Projek Ladang Tenusu (Perlis), Program Pembangunan Modal Insan di bawah ECERDC antaranya bagi meningkatkan prestasi akademik anak-anak B40; Sistem Pengangkutan Bas Rapid Transit di Johor. |
| Projek-Projek Kecil dan Sederhana | 3.7 bilion |
Dianggarkan 5,000 kontraktor Kelas G1 – G4 (kontraktor kecil) bakal penerima manfaat |
| Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 | 0.7 bilion | 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 buah sekolah. |
1 Berdasarkan purata 3 penghuni bagi setiap isirumah
2 Berdasarkan purata 3 penghuni bagi setiap isirumah
Jelas sekali, penerima manfaat terbesar bagi projek-projek pembangunan di atas adalah rakyat serta pelbagai saiz perniagaan dan PKS.
3. Subsidi untuk rakyat dalam Bajet 2023 bertambah berbanding 2022
Peruntukan subsidi bagi tahun 2022 ialah RM31 bilion, tapi perbelanjaan subsidi untuk tahun ini adalah RM77.7 bilion, ekoran ketidaktentuan geopolitik yang mencengkam rantai bekalan global yang seterusnya menaikkan kadar inflasi, seterusnya memberi impak langsung kepada kenaikan harga makanan dan barangan asas. Contohnya, tahun ini, harga minyak pernah melonjak lebih USD120 setong, dan ini meningkatkan subsidi Kerajaan bagi RON95. Harga arang batu yang tinggi juga telah mengakibatkan peningkatan bil subsidi bagi penjanaan bekalan elektrik yang lancar untuk seluruh Malaysia.
Bagi tahun 2023, jumlah subsidi yang diperuntukkan ialah RM55 bilion, iaitu lebih dari peruntukan asal RM31 bilion bagi tahun 2022. Anggaran RM55 bilion ini adalah berdasarkan unjuran harga minyak global yang bakal menurun sekitar USD90, dan harga komoditi lain juga dijangka menurun ekoran jangkaan ekonomi dunia akan melembap pada tahun 2023. Tentunya tiada keperluan untuk memperuntukkan jumlah yang terlalu besar sekiranya anggaran keperluan adalah di tahap yang lebih rendah.
Yang paling penting, subsidi khusus untuk B40 dan M40 telah bertambah bagi tahun 2023. Perbelanjaan untuk bantuan sosial dan subsidi ditingkatkan dua kali ganda daripada hanya 5.2% kepada 11.3% daripada Perbelanjaan Mengurus. Bantuan tunai dibawah JKM dan BKM kepada golongan susah dan B40 pula adalah sekitar RM10 billion.
Malah, Bajet 2023 juga memperuntukkan RM1 bilion bagi Program Pembasmian Miskin Tegar yang bertujuan untuk membantu golongan ini berdikari melalui inisiatif ekonomi dan pertanian. Ini mencerminkan pandangan jauh Kerajaan di dalam memastikan agar rakyat diperkasa sebaik mungkin supaya mereka mampu berdikari tanpa sentiasa ditanggung oleh Kerajaan.
4. Langkah-Langkah Penstrukturan Semula Ekonomi Memerlukan Usaha Berbilang Tahun, Bukan Hanya Setahun
Isu-isu struktur mengambil masa berdekad-dekad untuk bertapak di dalam ekonomi. Sehubungan itu, usaha penstrukturan semula juga pastinya akan mengambil masa dan tidak mungkin berjaya ditangani dalam tempoh hanya setahun. Walau bagaimanapun, MOF ingin memaklumkan bahawa pelbagai usaha penstrukturan semula telahpun dimulakan sejak tahun 2020. Ini termasuk perluasan skop dan manfaat keselamatan sosial (terutamanya bagi mereka yang bekerja sendiri atau di dalam sektor tidak formal); penerapan amalan yang berteraskan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC); dan dana khusus oleh sektor kewangan bagi menyokong usaha syarikat PKS beralih kepada amalan rendah karbon atau berasaskan kelestarian. Contohnya, pada tahun in juga, Kerajaan, melalui Bursa Malaysia, telah memulakan usaha pewujudan Pasaran Karbon Sukarela (Voluntary Carbon Market). Pelbagai langkah-langkah juga telah dimulakan bagi menggalakkan penggunaan tenaga bersih. Namun, penstrukturan semula lazimnya memerlukan tempoh masa yang lebih lama kerana ekosistem yang sesuai perlu ditubuhkan dahulu bagi menyokong langkah-langkah tersebut.
Ada juga pihak yang mendakwa bahawa Bajet 2023 adalah sebuah Bajet pilihanraya.
Jika ianya betul bajet pilihanraya, tentu tiada kritikan negatif langsung dari pihak berkepentingan. Berbanding dengan bajet pilihanraya yang pastinya lebih memberatkan langkah-langkah jangka pendek, hakikatnya Bajet 2023 juga bersifat BERTANGGUNGJAWAB dan REFORMIS, yang menekankan keperluan membina daya tahan bagi menempuh cabaran jangka sederhana dan panjang, walaupun berhadapan dengan kekangan fiskal akibat peningkatan perbelanjaan bagi menangani impak pandemik sejak dua tahun lalu.
Pelbagai usaha jangka panjang bagi penstrukturan semula dan pembangunan mampan diperuntukkan bagi manfaat kesemua pihak berkepentingan iaitu rakyat, perniagaan, sektor sosial dan ekonomi. Contoh penstrukturan semula (reforms) yang paling penting adalah cadangan penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (Fiscal Responsibility Act – FRA) yang akan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pengurusan fiskal negara. Ini termasuk mempertimbangkan kebolehlaksanaan had statutori hutang tunggal (single debt limit) sebagai satu peraturan hutang baharu, dan perluasan asas hasil negara. Pelbagai sesi libat urus telah diadakan semenjak usaha ini diumumkan semasa Bajet 2021 dan 2022 untuk memastikan penggubalan FRA yang komprehensif dan memenuhi matlamat membina semula daya tahan fiskal negara dalam menghadapi sebarang cabaran mendatang.
Selain itu, Bajet 2023 turut mencadangkan pewujudan dana pelaburan lebih RM1 bilion bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tambah tinggi yang bakal menjana peluang pekerjaan profesional bergaji lebih tinggi. Industri-industri ini termasuk industri E&E yang merangkumi pembangunan aplikasi berasaskan teknologi frekuensi radio dan bluetooth bagi industri automotif; penarikan pelabur sektor E&E ke Malaysia; dan pembangunan industri peranti perubatan. Antara industri berasaskan teknologi lain yang bakal mendapat peruntukan termasuk industri aeroangkasa, industri kimia dan petrokimia, nanoteknologi, teknologi kesihatan (health-tech), pembuatan pintar (smart manufacturing). Usaha tersebut akan dipadankan dengan langkah-langkah pembangunan modal insan yang bakal menyumbang kepada penstrukturan semula ekonomi bagi jangka masa sederhana dan panjang.
5. Kuota 1% untuk OKU di dalam MySTEP kekal
Kuota 1% untuk OKU sememangnya telah diperuntukkan di dalam inisiatif MySTEP yang bakal menyediakan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak, namun perkara ini tidak disebut semasa pembentangan kerana kebanyakan langkah-langkah utama Bajet 2023 disampaikan secara am bagi mematuhi had masa yang ditetapkan. Sukacita dikongsi sekali lagi bahawa gaji MySTEP dicadangkan untuk dinaikkan sebanyak RM100 iaitu antara RM1,500 hingga RM2,100. Kerajaan juga akan terus memperkasakan OKU menerusi pelbagai langkah termasuk bantuan tunai langsung, bantuan mobiliti, pembinaan taska khas OKU dan penambahbaikan fasiliti mengajar di sekolah OKU.
6. Pesara juga bakal mendapat bantuan tunai langsung
Walaupun tidak disebut di dalam ucapan Bajet 2023, pesara tidak dilupakan. Peruntukan Bantuan Khas Kewangan RM350 kepada pesara bakal dibuat pada bulan Januari 2023, manakala Bantuan Kewangan Aidilfitri berjumlah RM300 bakal dibayar pada bulan Mac 2023 kepada 1 juta pesara.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
12 Oktober 2022