Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2020 pada 22 Mei 2020
- Mesyuarat Majlis Kewangan Negara ini diadakan selaras dengan Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan. Mesyuarat ini bertujuan membincangkan perkara yang melibatkan pengurusan kewangan Kerajaan Negeri dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Mesyuarat pada hari ini telah membincangkan beberapa perkara yang menyentuh kepentingan bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
- Majlis Kewangan Negara bersetuju meluluskan caruman kepada Kumpulan Wang Rizab Negeri bagi tahun 2022 sebanyak RM350 juta untuk membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP).
- Majlis Kewangan Negara juga bersetuju supaya penyaluran Pemberian TAHAP ini dibuat terus kepada semua Kerajaan Negeri pada setiap awal tahun mulai tahun 2021. Inisiatif ini merupakan komitmen dan manifestasi keprihatinan Kerajaan Persekutuan untuk membantu negeri-negeri yang berpendapatan rendah supaya mempunyai tambahan dana bagi melaksanakan projek-projek untuk manfaat rakyat.
- Kerajaan Persekutuan sentiasa memastikan kemudahan jalan raya di negeri-negeri disenggara dengan baik bagi mengekalkan kualiti jalan raya demi menjamin keselamatan dan keselesaan rakyat. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Persekutuan bersetuju supaya Garis Panduan MARRIS ditambah baik antaranya termasuk memperluaskan perbelanjaan yang dibenarkan dengan meningkatkan had sedia ada kepada 20% atau RM50 juta, mengikut mana yang terendah supaya turut merangkumi kerja-kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan/culvert, penyediaan atau pengalihan utiliti serta pemeliharaan pokok di bahu jalan.
- Berikutan daripada impak penularan wabak COVID-19, Kerajaan Persekutuan bersetuju memutuskan supaya pemberian MARRIS pada tahun 2021 disalurkan sepenuhnya walaupun Kerajaan Negeri tidak mencapai paras 85% perbelanjaan pada tahun 2020.
- Kerajaan Persekutuan juga bersedia untuk mempertimbangkan permohonan Kerajaan Negeri untuk menstruktur atau menjadual semula pinjaman bagi membantu Kerajaan Negeri yang menghadapi kekangan kewangan bagi membuat pembayaran balik pinjaman.
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
22 Mei 2020