Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

MRT Corp & MMC-Gamuda Menandatangani Perjanjian Tambahan Bagi MRT 2, Iaitu Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), Dengan Pengurangan Kos Pembinaan Sebanyak RM8.82 Bilion

MRT Corp & MMC-Gamuda Menandatangani Perjanjian Tambahan Bagi MRT 2, Iaitu Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), Dengan Pengurangan Kos Pembinaan Sebanyak RM8.82 Bilion

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd hari ini menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Rakan Pelaksana Projek bagi MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), atau lebih dikenali sebagai MRT 2.

Perjanjian ini memuktamadkan proses rasionalisasi yang berjaya mengurangkan kos pembinaan MRT 2 sebanyak RM8.82 bilion, daripada RM39.35 bilion kepada RM30.53 bilion. Pengurangan RM8.82 bilion ini merupakan penjimatan sebesar 22.4% berbanding kos pembinaan asal MRT 2, seperti yang dirundingkan antara Kerajaan dan MMC-Gamuda pada Oktober 2018.

Perjanjian Tambahan ini telah ditandatangani di Kementerian Kewangan di antara MRT Corp dan MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) dan disaksikan oleh Menteri Kewangan YB Tuan Lim Guan Eng, Menteri Pengangkutan YB Tuan Anthony Loke Siew Fook, serta Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan YB Datuk Dr Shahruddin Md Salleh. Ketua Pegawai Eksekutif Encik Abdul Yazid Kassim telah menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak MRT Corp, manakala MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) diwakili oleh Pengarah Syarikat Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Noh dan Ir Dato’ Paul Ha.

Dengan ini, pihak MRT Corp dan MMC-Gamuda kini boleh menumpukan usaha untuk menyiapkan MRT 2 dalam tempoh dan kos yang ditetapkan untuk menyediakan rakyat Malaysia dengan sebuah mod pengangkutan yang moden, efisien, boleh dipercayai, selamat dan mesra alam.

Penjimatan kos RM8.82 bilion

Penjimatan kos berjumlah RM8.82 bilion ini berjaya dicapai dengan membina kapasiti MRT 2 secara progresif untuk memenuhi permintaan semasa, dengan peruntukan penambahbaikan berdasarkan kepada tahap penggunaan pada masa hadapan.

Pendekatan pembinaan progresif ini bagi mengelakkan projek dibina secara besar-besaran dan mengakibatkan beban hutang melambung tinggi tanpa mengambil kira keperluan dalam masa terdekat. Pendekatan ini tidak akan menjejaskan kualiti, keselamatan dan kecekapan operasi sistem MRT.

Antara penyumbang utama kepada penjimatan kos adalah :

  • Perubahan struktur projek dari model rakan pelaksana projek kepada model turnkey yang menghasilkan penjimatan yuran Rakan Pelaksana Projek
  • Rasionalisasi peruntukan bayaran balik, kontingensi dan wang provisional
  • Penangguhan dan rasionalisasi skop kerja bawah tanah dan bertingkat, seperti penundaan pembukaan stesen-stesen bawah tanah di Bandar Malaysia, serta penyederhanaan kemasan seni bina stesen
  • Rasionalisasi skop kerja untuk kerja-kerja sistem mekanikal dan elektrikal.

Walaupun terdapat perubahan dalam struktur projek, pihak Kerajaan telah memastikan supaya sasaran asal penyertaan Bumiputera sebanyak 45% daripada nilai kontrak RM30.53 bilion, iaitu RM13.7 bilion, dikekalkan.

Status kemajuan dan tarikh mula operasi

Untuk pengetahuan umum, kemajuan pembinaan semasa MRT 2 berada pada tahap 70% dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022 dan bermula operasi penuh pada tahun 2023.

Tarikh mula operasi bagi Fasa Pertama MRT 2, iaitu antara stesen Kwasa Damansara dan stesen Kampung Batu kekal sama pada Julai 2021. Untuk Fasa Kedua antara Kampung Batu dan Putrajaya Sentral, tarikh mula operasi adalah Januari 2023.

Sayangi Malaysiaku!


Lim Guan Eng
Menteri Kewangan

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
17 Januari 2020

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility