YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada Khamis, 27 Februari 2020 pada 4:30PM. Rangsangan ini bertujuan mengurangkan impak ekonomi luaran akibat wabak COVID-19 terhadap Malaysia, sambil memelihara kebajikan rakyat.
Pakej rangsangan ekonomi ini bukanlah sebuah Belanjawan baharu mahupun sebahagian daripada dasar-dasar Belanjawan 2020. Sebaliknya, bantuan akan disalurkan kepada sektor-sektor yang terkesan bagi membenarkan ekonomi negara untuk muncul semula dengan sebaik mungkin dan menerima manfaat daripada pemulihan semula ekonomi yang dijangkakan berlaku setelah wabak COVID-19 berakhir.
Walaupun pasaran sedang menghadapi cabaran yang genting, kita tidak harus berputus asa, tetapi sebaliknya bertabah supaya industri kita dapat bertahan agar negara dapat menerima manfaat daripada pemulihan semula ekonomi setelah ancaman COVID-19 tamat. Perhatian utama diberikan kepada aliran tunai, dan syarikat-syarikat yang terkesan hendaklah memastikan supaya mereka terus kekal beroperasi dan berupaya memanfaatkan lonjakan semula ekonomi pasca-COVID-19.
Kerajaan akan membantu syarikat-syarikat tersebut, tetapi penekanan harus diletakkan terhadap usaha meneroka ruang-ruang pendapatan alternatif, seperti peralihan kepada penggalakan pelancongan domestik, dan mendapatkan sumber daripada pasaran lain. Selain itu, daya tahan pasaran tenaga kerja tempatan haruslah dikekalkan. Infrastruktur fizikal dan lembut juga perlu kekal tersedia sewaktu kekurangan permintaan dalam jangka masa pendek.
Kerajaan sedang mengadakan rundingan
Kementerian Kewangan sedang menyediakan program rangsangan, dan bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya, Kementerian Pembangunan
Usahawan dan Koperasi berserta pelbagai agensi. Kerajaan telah mengadakan sesi rundingan erat dengan beberapa peserta industri utama dalam sektor pelancongan, logistik, dan kewangan. Kementerian-kementerian ini juga telah mengadakan mesyuarat dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan juga tabung dan syarikat berkaitan kerajaan.
Waktu untuk Malaysia bersatu
Kementerian Kesihatan telah melakukan yang terbaik dalam membendung wabak COVID-19 di Malaysia, tanpa menimbulkan rasa cemas di khalayak ramai walaupun sering dilanda berita palsu.
Inilah masanya untuk setiap rakyat Malaysia mengetepikan perbezaan sesama kita dan bersatu sebagai sebuah negara dan bangsa. Walaupun Kerajaan akan membantu industri-industri yang terkesan, peserta industri perlu memainkan peranan dalam membantu pelanggan dan pembekal mereka supaya semua mampu bertahan menempuhi cabaran ini dan menerima manfaat daripada lonjakan semula pascaCOVID-19. Memetik kata-kata John F. Kennedy, “Jangan tanya apa negara anda boleh lakukan untuk anda. Tanyalah apa yang anda boleh lakukan untuk negara anda.”
Sayangi Malaysiaku!
YB Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan
Putrajaya
14 Februari 2020