PENGHENTIAN CAJ URUS NIAGA ATAS TRANSAKSI TUNAI DAN CEK UNTUK PEMBAYARAN KAD KREDIT DAN PEMBAYARAN BALIK PINJAMAN BANK MELALUI KAUNTER DAN MESIN DEPOSIT TUNAI (CDM) MENUNJUKKAN KOMITMEN BANK KOMERSIAL TERHADAP MEMENUHI KEPERLUAN PENGGUNA MENGGUNAKAN TEKNOLOGI TERKINI TANPA MEMBAWA BEBANAN KEWANGAN
Kementerian Kewangan mengalu-alukan penghentian caj urus niaga yang dikenakan oleh bank komersial terhadap transaksi tunai dan cek untuk pembayaran kad kredit dan bayaran balik pinjaman bank melalui kaunter sehingga RM2, dan melalui mesin deposit tunai (CDM) sehingga RM0.50. Kesediaan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) menerima baik nasihat Kementerian Kewangan untuk mendengar pandangan orang ramai dan pengguna berkenaan isu ini wajar dipuji.
Caj urus niaga tersebut mula dikenakan pada Disember 2017 bawah pentadbiran kerajaan terdahulu bagi mempromosikan peralihan kepada e-pembayaran. Namun,caj tersebut membebankan golongan berpendapatan rendah dan mereka yang kekurangan akses kepada internet untuk menjalankan perbankan atas talian, dan secara mudah alih.
Penghentian caj yang berkuatkuasa pada 26 September 2019, menunjukkan komitmen bank komersial untuk memenuhi keperluan pengguna dengan menggunakan teknologi terkini tanpa membawa bebanan kewangan. Pada masa yang sama, ABM menunjukkan bahawa mereka tidak obses dengan mengaut keuntungan daripada yuran dan caj tersebut dengan memansuhkannya untuk kali pertama sejak diperkenalkan pada tahun 2017.
Sayangi Malaysiaku!
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
27 September 2019