Peruntukan Bajet 2022 Menitikberatkan Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat Bagi Sabah & Sarawak
Kementerian Kewangan ingin memaklumkan bahawa di dalam perangkaan Bajet 2022, Kerajaan Persekutuan amat menitikberatkan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di kesemua negeri, termasuk di Sabah dan Sarawak. Berikut adalah sebahagian dari manfaat Bajet 2022 bagi rakyat Sabah dan Sarawak:
Dari segi peruntukan perbelanjaan pembangunan (Development Expenditure - DE) bagi Sabah dan Sarawak yang diterapkan di dalam Bajet 2022, sebanyak RM5.16 bilion (peningkatan RM104 juta berbanding tahun 2021) diperuntukkan untuk Sabah, manakala RM4.67 bilion (peningkatan RM158 juta berbanding tahun 2021) diperuntukkan untuk Sarawak. Jumlah peruntukan DE Sabah dan Sarawak bagi tahun 2022 merupakan lebih 20 peratus daripada jumlah peruntukan DE untuk kesemua negeri. Perbelanjaan DE ini termasuk peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo iaitu meneruskan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah daripada Sindumin ke Rampayan Laut dan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak daripada Semantan ke Jalan Pujut Link.
Selain dari peruntukan DE ini, Kerajaan juga menyediakan peruntukan berikut:
- Peruntukan dari segi pemberian/pembayaran Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak. Untuk tahun 2021 ianya berjumlah RM1.13 bilion dan RM1.24 bilion masing-masing, dan ini diunjurkan akan meningkat dalam tahun 2022. Sabah dan Sarawak kekal sebagai dua negeri penerima pemberian/pembayaran Kerajaan Persekutuan terbesar dengan jumlah kedua-duanya lebih 30 peratus daripada jumlah pemberian kepada kesemua Kerajaan Negeri.
- Untuk tahun 2021, bantuan tunai bernilai RM1.31 bilion telah memanfaatkan 864 ribu warga negeri Sabah sementara RM1.49 bilion telah memanfaatkan 987 ribu warga negeri Sarawak. Sehubungan itu, bantuan tunai yang diterima rakyat di Sabah dan Sarawak melebihi 20% daripada jumlah pemberian bantuan tunai.
Selain itu, melalui Bajet 2022, antara peruntukan-peruntukan khusus bagi kepada Sabah dan Sarawak termasuk:
- Menaik taraf sekolah daif melibatkan peruntukan sebanyak RM746 juta dan daripada jumlah 330 projek sebanyak 112 projek di Sabah dan 165 projek di Sarawak.
- Perluasan perlindungan PERKESO kepada sembilah kategori baharu iaitu artis, penjaja, perikanan, pertanian, sektor pelancongan, OKU, Orang asli, Orang asal Sabah Sarawak dan penyelia dan petugas Pemulihan Dalam Komuniti.
- Program Bumiputera Sabah dan Sarawak: Program pendidikan kepada anakanak Bumiputera Sabah dan Sarawak berkenaan budaya dan warisan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.
- Penubuhan Bank Susu Ibu untuk bayi pra-matang di Neonatal Care Unit di Hospital Pulau Pinang, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
- Pembiayaan kos pengangkutan dan pengedaran barang asas (LPG dan Petrol) ke kawasan luar bandar, khususnya Sabah dan Sarawak melibatkan peruntukan sebanyak RM200 juta.
- Subsidi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan RM209 juta.
- Peruntukan DE sebanyak RM1.5 billion daripada jumlah keseluruhan RM2.5 billion untuk pembangunan infrastruktur luar bandar diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak.
- Menambah lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am antaranya di Pagalungan, Sabah dan Temong Mura, Sarawak melibatkan peruntukan sebanyak RM2.2 juta.
- Menambah empat pintu masuk imigresen baharu antaranya di Telok Melano dan Baleh, Sarawak.
- Tambahan 20 lagi perkhidmatan bank bergerak dijangka mula beroperasi merangkumi 250 kawasan dan mukim di luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Setakat ini, rakyat Sabah dan Sarawak juga telah memanfaatkan pelbagai bantuanbantuan lain seperti bantuan tunai, program subsidi upah, serta pelbagai program pekerjaan seperti carian pekerjaan, latihan dan peningkatan kemahiran, yang juga akan diteruskan di bawah Bajet 2022.
Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa perangkaan Bajet 2022 amat menitikberatkan pembangunan dan kesejahteraan kesemua rakyat, tanpa mengira negeri atau kaum, berdasarkan keperluan masing-masing agar semua rakyat bakal membangun dan mengecapi kemakmuran terutama sekali apabila negara kini berada di ambang pemulihan dan perkembangan ekonomi.
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
8 November 2021